DALAM al-Quran jelas menyatakan bahawa antara dosa yang tidak seharusnya dilakukan oleh seseorang Muslim tanpa mengira jantina dan umur adalah melakukan hubungan seks atau apa sahaja kelakuan ke arah itu tanpa nikah yang sah di sisi syarak.

Antaranya adalah dalam Surah al-Mukminun: 5-7 bermaksud: “Dan orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba mereka, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas.”

Justeru, atas alasan apakah bila ada seseorang menyatakan bahawa amalan hubungan seks sesama jantina atau Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) adalah sesuatu yang beretika dan bermoral pada pandangan Allah SWT.

“Sejak 1,400 tahun lalu, tidak ada seorang pun alim ulama Islam pernah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa hubungan sesama jenis itu sesuatu yang bermoral dan dibenarkan dalam Islam.

“Kisah Nabi Lut a.s. dalam al-Quran cukup jelas menyatakan larangan sedemikian dan sepatutnya tidak dibahaskan lagi,” kata pendakwah kelahiran Amerika Syarikat (AS), Abu Ammaar Yasir Qadhi (Dr. Yasir Qadhi).

Namun begitu, Pensyarah di Pusat Islam Memphis itu memberitahu, larangan tersebut hanya berkuatkuasa apabila seseorang Muslim bertindak melakukannya tetapi tidak, jika hanya tercetus di dalam hati.

“Syariah tidak akan menghukum seseorang itu berasaskan apa yang tercetus di hatinya, termasuklah tertarik dengan sesama jantina atau kepada pasangan yang sudah berkahwin,” katanya.

Ikutilah wawancara bersama beliau.

Apakah larangan syariah sebenarnya?

Yasir Qadhi: Contohnya, jika ada seseorang Muslim menyatakan bahawa dia seorang homoseksual atau lesbian dan tertarik kepada sesama jantina.

Dalam keadaan itu, saya akan katakan, “jika dalam hatinya wujud perasaan cinta atau kasih sayang kepada sesama jantina, maka Allah SWT tidak akan menghukum atas sebab berkenaan.

“Tetapi, mereka tidak boleh sama sekali bertindak melakukannya (berzina) termasuklah kelakuan tertentu ke arah itu dan perlu berusaha sebaik mungkin mengawal perasaan itu.”

Apakah perasaan itu tanda-tanda kehilangan iman?

Jika seseorang Muslim mendapati hati atau perasaannya tertarik dengan sesama jantina, tidak bermakna dia hilang iman atau bukan lagi seorang Muslim.

Hakikatnya, jika individu berkenaan berusaha mengawal atau melawan perasaan itu, dia mungkin boleh jadi seorang Muslim yang lebih baik, kerana mungkin usaha itu lebih sukar sebab melibatkan pergelutan dalam diri sendiri.

Jadi, apa yang perlu dilakukan?

Jika dia bertindak mengikut hatinya, kita katakan kepadanya bahawa dia telah melakukan dosa dan menasihati individu itu agar segera bertaubat kepada Allah serta meninggalkan terus perbuatan terkutuk itu.

Selain itu, kita juga perlu memanjatkan doa agar Allah SWT menjauhkan dan memelihara dia daripada terus melakukan dosa tersebut. Tiada gunanya bertindak kasar atau melepaskan kata-kata nista sebab kita tidak mahu mereka gunakan alasan itu untuk meninggalkan imannya kepada Allah SWT.

Selagi dia berazam dan berusaha menjauhkan dirinya daripada perbuatan terkutuk itu, kita perlu berusaha membimbing mereka sepertimana kita menerima bekas penagih dadah, peminum arak, penjenayah dan lain-lain yang ingin bertaubat.

Bagaimana jika mereka enggan berubah dan cuba sebarkan amalan itu?

Dalam hal ini, kita boleh membina satu garisan pemisah dengan golongan yang mahu menyebarkan kefahaman atau idea yang secara jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Kita perlu tegaskan bahawa mereka boleh lakukan di tempat lain atau membuka institut sendiri kerana negara ini (AS) mengamalkan hak kebebasan kepada setiap warganya.

Jika mereka melakukan di tempat tertutup, itu adalah urusan mereka dengan Allah SWT. Tetapi jika kita terserempak, nasihati mereka elok-elok agar meninggalkan perbuatan terkutuk itu. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)