BANGI, 18 Safar – DAP mengecam tindakan pihak yang didakwa cuba memberi tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar mendakwa seorang pekedai di Pulau Pinang kerana kesalahan memasang Jalur Gemilang secara tidak betul di hadapan premisnya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata tindakan tersebut merupakan campur tangan dan cubaan mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa penilaian sewajarnya.
Beliau menegaskan bahawa pihak Peguam Negara perlu diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan tanpa tekanan politik.
“Pihak berkenaan mengugut untuk mengadakan protes di hadapan kedai sekiranya tiada pendakwaan dibuat dalam masa terdekat.
“Tindakan ini jelas merupakan perbuatan buli secara terbuka yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Bukan sahaja buli di sekolah harus ditentang, malah buli terhadap warga emas juga wajar dibantah habis-habisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik, yang mencetuskan kecaman orang ramai.
Menurut laporan media, kertas siasatan berhubung insiden di Jalan Bertam Perdana itu telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Pulau Pinang setelah siasatan polis selesai. Kertas siasatan itu kemudiannya akan dirujuk ke Putrajaya bagi mendapatkan arahan lanjut.
Tajaan Jalur Gemilang
Mengulas lanjut, Loke memaklumkan bahawa DAP akan menaja pemasangan Jalur Gemilang gergasi di premis berkenaan pada hari ini sebagai bukti bendera tersebut dipasang dengan betul.
“Bagi menangani pihak yang kurang matang, kita harus menunjukkan tahap pemikiran yang lebih rasional serta menggunakan pendekatan aman dan beradab.
“Sekiranya ada pihak cuba mengganggu ketenteraman di kawasan premis tersebut, ahli-ahli DAP Pulau Pinang akan menyambut mereka dengan mengedarkan 831 Jalur Gemilang secara percuma sebagai tanda menyemarakkan semangat perpaduan sempena 31 Ogos,” katanya lagi.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam