Gaza (Quds News Network) – Penduduk Gaza mengecam masyarakat antarabangsa secara dalam talian kerana didakwa bersekongkol dan tidak bertindak balas terhadap sekatan Israel yang telah menyebabkan kebuluran besar-besaran di wilayah itu. Keadaan kini begitu parah sehingga ada yang rebah di jalanan akibat kelaparan yang melampau.
Melalui media sosial, rakyat Gaza menyampaikan mesej yang sama kepada dunia: “Kami sedang mati kelaparan” dan “Gaza sedang kebuluran.”
Wartawan Anas al-Sharif menulis di X (Twitter):
“Saya tidak pernah berhenti melaporkan walau sesaat pun dalam tempoh 21 bulan lalu. Hari ini, saya bercakap dengan penuh kesakitan dan kejujuran: saya lemah kerana lapar, menggigil kerana keletihan, dan sentiasa bergelut daripada pengsan… Gaza sedang mati – dan kami mati bersamanya.”
“Jika dunia tidak bertindak hari ini, mungkin esok tiada siapa yang tinggal untuk diselamatkan. Gaza sedang kebuluran.”
“Penduduk Gaza Sedang Mati Kelaparan “
Para wartawan turut mengadakan vigil sebagai protes terhadap sekatan Israel yang menyesakkan, sambil melaungkan, “Penduduk Gaza sedang mati kelaparan.”
Wartawan Abdallah al-Attar menulis:
“Saya seorang wartawan yang sedang menulis ini, dan air mata jatuh dari mata saya. Saya lapar, tiada apa yang boleh dimakan. Kanak-kanak ini, Amal Al-Bayouk, sedang mati kelaparan di depan mata kami. Kami merayu kepada seluruh dunia untuk bantu rawatannya di luar negara, tetapi tiada siapa peduli! Setiap hari, kami mengucapkan selamat tinggal kepada seorang kanak-kanak akibat kelaparan, dan jika keadaan ini berterusan… giliran kami pula yang akan tiba.”
YouTuber dari Gaza, Ahmed Jomaa, turut memuat naik gambar dirinya memegang sepanduk bertulis “Gaza sedang kebuluran.”
Jurufoto Omar El Qattaa menulis:
“Jika keadaan ini berterusan beberapa hari lagi, kami semua akan mati kebuluran.”
“Anak Saya Menangis , Dia Lapar . Makanan Pun Tak Ada Untuk Dibeli “
Samah Ahmed pula menyatakan:
“Semasa kempen kebuluran pertama Israel di utara Gaza, orang ramai masih sempat makan makanan ternakan dan barli. Tapi kini, dalam kebuluran kedua ini, semua itu pun sudah tiada… Dan apa saja yang ada sekarang, anda perlu berhutang setiap kali nak beli barang di pasar.”
Seorang bapa yang terdesak menjerit di tengah-tengah pasar Gaza:
“Anak saya menangis. Dia lapar. Makanan pun tak ada untuk dibeli!”
Beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak Gaza mencari makanan dalam timbunan sampah. Salah satu video memaparkan tiga orang kanak-kanak makan terus dari longgokan sampah di jalanan.
Seorang ibu turut memuat naik video anak perempuannya yang kecil menangis meminta makanan, sambil berkali-kali menyebut, “makanan, makanan,” dan menambah, “Saya tidak akan maafkan sesiapa yang bersekongkol dalam kelaparan kami.”
-Sumber Quds News