Kartun Didakwa Mengandungi Unsur LGBT, Kerajaan Digesa Ambil Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, mempersoalkan ketelusan dan keberkesanan mekanisme tapisan kerajaan terhadap kandungan kartun barat yang didakwa semakin sarat dengan unsur LGBT.

Dalam kenyataannya kepada The Merdeka Times, beliau menyoal secara tegas siapa yang menyemak kandungan kartun sebelum diluluskan untuk siaran, sambil menyatakan bahawa masyarakat kini terpaksa meneliti isu yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kementerian.

“Yang sebenarnya ada tak tapisan? Ada tak orang yang melakukan tugas mereka sebelum meluluskan sebarang kartun?” soal beliau.

Rafidah menjelaskan bahawa sebelum ini, kartun dianggap kandungan “ringan” dan jarang diperiksa dengan teliti. Namun kini, semakin banyak animasi barat menampilkan mesej dan karakter yang berkait dengan identiti gender.

“Kenapa pula kita, orang awam dan netizen, yang berbincang soal animasi diserap unsur LGBT, tetapi Kementerian buat seolah-olah benda ini tak ada apa-apa dan tak akan berlaku di Malaysia?” tegasnya.

Beliau menekankan bahawa Kementerian Komunikasi dan RTM sepatutnya lebih peka dan memahami perubahan trend global, terutamanya apabila gergasi animasi seperti Disney dan Pixar semakin terbuka menyelitkan naratif LGBT dalam karya mereka.

“Kerajaan harus berada satu langkah di hadapan rakyat. Fenomena global ini memerlukan mekanisme penapisan yang lebih jelas dan ketat,” tambah beliau.

Rafidah turut berterima kasih kepada seorang bapa yang mula-mula menimbulkan isu ini di media sosial selepas menonton kartun Santiago of the Seas terbitan RTM TV2 bersama anaknya.

Menurut Rafidah, kanak-kanak mudah membentuk kefahaman tentang struktur keluarga dan identiti melalui apa yang mereka lihat sejak kecil. Kandungan yang menonjolkan kekeliruan gender, katanya, berisiko menormalisasi perkara yang tidak disedari.

“Kita tidak mahu anak-anak menjadi mangsa ideologi gender dan keliru dengan struktur kekeluargaan yang bercanggah dengan fitrah,” jelas beliau dengan nada penuh kebimbangan.

Beliau menegaskan bahawa kartun kini bukan lagi medium yang boleh dianggap selamat secara automatik, lebih-lebih lagi apabila banyak platform penstriman dan penyiaran membawa masuk kandungan antarabangsa tanpa tapisan terperinci.

Rafidah menggesa kerajaan memperkukuh mekanisme tapisan untuk melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang boleh mempengaruhi minda dan menormalisasi perkara tidak sewajarnya sejak usia awal.

Sumber: TV Pertiwi

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts