Kasih sayang tak kenal bangsa, agama

 

Butterworth: Berbeza bangsa dan agama, serta tiada pertalian darah namun hubungan terjalin antara sebuah keluarga Cina di Sungai Dua, di sini, dengan jiran Melayu sejak puluhan tahun lalu nyata begitu akrab.

Malah, Hashim Rejab, 88, yang masih bujang sudah menganggap keempat-empat anak keluarga Cina itu terutama Liang Kok Hua atau lebih dikenali Ah Hua, 43, seperti anaknya sendiri.

Begitu juga ibu kepada Ah Hua iaitu Oei Ah Sin, 84, yang menganggap Hashim seperti abang kandungnya kerana banyak meluangkan masa bermain termasuk membawa anak-anaknya bersiar-siar dan membeli alat permainan ketika mereka masih kecil.

Hashim berkata, dia kini semakin uzur dan tidak mampu berjalan amat terharu dengan kasih sayang ditunjukkan keluarga Cina itu kepadanya.

“Saya rapat dengan kesemua ahli keluarga (Cina) ini sejak dahulu lagi apabila berkawan dengan mendiang bapa mereka (suami Ah Sin) semasa bekerja di kilang bata dahulu.

“Anak-anak Ah Sin juga dianggap seperti anak-anak saya sendiri di mana saya selalu bawa mereka pergi ke pekan menaiki bas untuk makan dan membeli alat permainan ketika mereka kecil.

“Kini apabila kesemua mereka sudah besar, saya masih menyimpan semua alat permainan yang dibeli dahulu termasuk gambar-gambar empat beradik ini sebagai kenangan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, dia juga mengambil peranan sebagai bapa kepada empat beradik itu selepas mendiang rakannya meninggal dunia apabila akan membawa mereka mendapatkan rawatan di klinik jika tidak sihat.

“Maklumlah dahulu apabila bermain ada yang jatuh telaga, pokok dan masa itu saya amat sayangkan mereka tak boleh tengok mereka dalam kesakitan, jadi akan bawa mendapatkan rawatan di klinik,” katanya.

Sementara itu, Ah Hua berkata, dia sebagai anak bongsu kini menggalas tanggungjawab menjaga kebajikan Hashim yang sudah uzur dan tidak mampu berjalan.

“Saya membuka bengkel motosikal berdekatan dengan rumah ibu dan saya akan datang menjenguk pak cik Hashim serta menghantar makanan kepadanya setiap hari.

“Pak cik Hashim adalah pengganti bapa selepas kematiannya ketika saya berusia 10 tahun. Dia juga menyayangi saya serta adik beradik lain seperti anaknya sendiri.

“Saya juga menjaga perihal kesihatan pak cik Hashim apabila akan membawanya mendapatkan rawatan di klinik dan hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Ah Sin berkata, keluarganya tidak pernah sekali pun berniat buruk terhadap Hashim walaupun berlainan bangsa dan agama.

“Kami tak akan bagi benda yang dia tidak boleh makan kerana tahu akan agamanya, bahkan kami akan tanya dia dahulu apa yang dia boleh makan dan apa yang tidak kerana kami menghormatinya.

“Seluruh kawasan ini hingga ke pasar tahu bahawa keluarga saya kini menjaga Hashim termasuk mencuci rumah serta pakaiannya disebabkan dia sudah uzur,” katanya. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
30
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts