Keganasan rejim Zionis menyekat kanak-kanak Palestin bersekolah

 

BAITULMAQDIS – Sejumlah kanak-kanak dari perkampungan Jubbet al-Dhib di selatan wilayah diduduki rejim Zionis di Tebing Barat, memulakan sesi persekolahan penggal pertama di sekolah baharu yang dibina hasil derma Kesatuan Eropah (EU), Rabu lalu.

Bagaimanapun, hasrat mereka tidak tercapai apabila pada petang Selasa lalu, tentera rejim Zionis Israel merobohkan enam bilik darjah dan merampas semua peralatan, meninggalkan beberapa kerusi dan sekeping dinding konkrit.

Penduduk perkampungan itu terkejut dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu. Mereka yang merobohkan sekolah bukan manusia, kata seorang penduduk kepada wartawan.

“Kami tidak melakukan apa-apa kepada anak-anak mereka. Kenapa mereka melakukan begini kepada kami? Kami mahu hidup dengan aman, tapi mereka tidak mengizinkannya,” kata seorang penduduk, Manal Zawahra.

Jubbet al-Dhib adalah sekolah ketiga Palestin yang dirobohkan atau sekolah di mana peralatan mengajar dan kegunaan murid dirampas oleh rejim Yahudi, sejak awal bulan ini. Ini termasuk, satu-satunya tadika di Jabal al-Baba komuniti Bedouin. Rejim juga menanggalkan panel solar yang menyalurkan kuasa elektrik di Abu Nuwar.

Wakil misi EU di Jerusalem dan Ramallah mengutuk tindakan itu.

“Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat akses yang selamat kepada pendidikan dan setiap negara bertanggungjawab melindungi, menghormati dan memenuhi hak itu, dengan memastikan sekolah mempunyai persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak,” katanya kenyataan EU.

EU juga menggesa Israel menghentikan tindakan meroboh rumah dan merampas peralatan penduduk Palestin selaras dengan kewajipannya sebagai kuasa yang tertakluk kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Walaupun, tempat untuk belajar musnah, kanak-kanak Palestin tetap hadir di kawasan sekolah pada pagi Rabu lalu. Mereka membantu mengutip dan menyusun kerusi yang dibuang, sementara aktivis mendirikan khemah untuk dijadikan bilik darjah.

Dengan kehadiran beberapa guru, kira-kira 60 kanak-kanak terpaksa bersesak dalam khemah itu dan menyanyikan lagu kebangsaan Palestin bagi menunjukkan penentangan terhadap diskriminasi polis Israel terhadap mereka.

“Tempat ini tidak mendatangkan bahaya kepada sesiapapun. Ia tidak berbahaya kepada kereta kebal atau jet Israel. Tindakan agresif terhadap sekolah ini adalah serangan kepada hak asasi kemanusiaan secara umum dan hak kanak-kanak untuk belajar,” kata Pengarah Pendidikan Daerah Baitulmaqdis, Sami Mroueh.

Pertubuhan hak asasi kemanusiaan di Israel pula dalam satu kenyataan Rabu lalu berkata, 80 kanak-kanak Palestin terjejas berikutan tindakan rejim merobohkan sekolah berkenaan. Kenyataan menyebut bahawa tindakan itu melambangkan kekejaman pentadbiran dan gangguan sistematik oleh pihak berkuasa yang dibuat untuk menghalau rakyat Palestin dari tanah mereka.

 

 

Penyelaras NGO Perancis yang terbabit dalam pembangunan sekolah itu pula berkata, tindakan perobohan itu mewakili keganasan psikologi terhadap kanak-kanak.

“Bagi kanak-kanak pada usia sedemikian, sesuatu yang sedemikian membuatkan mereka faham di mana kedudukan mereka di dunia ini,” katanya.

Pihak Israel mendakwa tindakan itu dilakukan kerana pembinaan sekolah berkenaan tidak mendapat kelulusan.

Julai lalu, pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelaras hal ehwal kemanusiaan (OCHA) menyatakan sekatan rejim Israel di Area C – dua pertiga daripada Tebing Barat yang terletak di bawah penguasaan penuh tentera – menunjukkan hampir mustahil bagi rakyat Palestin untuk mendapat permit pembinaan, berbanding pendatang Yahudi yang diberi kebenaran sepenuhnya.

Menurut OCHA, dengan polisi Israel yang sedemikian rupa, kebanyakan komuniti Palestin di Area C tidak mendapat kemudahan pembelajaran, memaksa kanak-kanak berjalan kaki ke tempat yang jauh untuk bersekolah.

Pada Jun lalu, pihak berkuasa Israel turut merampas kira-kira 60 panel solar, yang diderma oleh kerajaan Belanda, yang menyediakan bekalan elektrik kepada Jubbet al-Dhib.

Rejim Israel sebelum ini meneruskan rancangan untuk membina beribu-ribu unit rumah di Tebing Barat dan Jerusalem Timur sejak awal tahun ini, yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Tinggal di kawasan berbukit dan berdebu di tenggara Baitulmaqdis, kanak-kanak Jubbet al-Dhib perlu berjalan sekurang-kurangnya lima kilometer untuk ke sekolah. Mereka terpaksa menempuh jalan yang curam dan bahaya diserang anjing liar, askar Israel atau penghuni haram Yahudi di Nokdim.

Perjalanan yang sukar, bilik darjah yang sesak dan stigma sosial yang dibebankan terhadap kanak-kanak miskin dari Jubbet al-Dhib di sekolah-sekolah di kawasan lain, telah menjejaskan akses kanak-kanak terhadap pendidikan selama bertahun-tahun.

Sekolah paling dekat dengan Jubbet al-Dhib, terletak di perkampungan Beit Ta’mir. Sebahagian rumah, bekas bengkel dan ruang bawah tanah yang disewa diubahsuai dan dijadikan bilik darjah bagi menampung pembelajaran puluhan kanak-kanak Palestin.

Sementara permohonan sejak sekian lama penduduk bagi memiliki sebuah sekolah di Jubbet al-Dhib terlaksana dengan bantuan EU pada musim panas tahun lalu, segala-galanya hancur apabila rejim Zionis yang kejam menggunakan jentolak, memusnahkannya sekelip mata.

“Apakah etika manusia yang bertindak sedemikian… bahkan prinsip undang-undang apa yang dapat membenarkan mereka sengaja menyasarkan komuniti ini dengan menafikan akses terhadap elektrik, air, dan sekarang sekolah.

“Apa sebab yang wajar jika bukan untuk merasionalkan langkah memperluas penempatan berdekatan yang dengan sendirinya menyalahi undang-undang?,” kata penyelaras NGO Perancis. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts