BANGI – Penganjuran persidangan mempromosi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada Oktober depan, membuktikan puak songsang dengan mudahnya bermaharajalela menyebarkan dakyah mereka.
Meluahkan kebimbangan, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, Persidangan Antarabangsa Ke-2 Mengenai Jantina dan Seksualiti 2019 itu jelas bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menolak amalan LGBT di negara ini.
Katanya, terlalu banyak keraguan, apatah lagi ia dianjurkan oleh University of Johannesburgh, Afrika Selatan bersama University of Genova, Itali dan University of Balochistan, Pakistan tanpa dinyatakan siapakah rakan kolaborasi mereka dari Malaysia sebagai tuan rumah.
“Lebih malang, persidangan itu menampilkan aktivis perjuangan transgender antarabangsa yang jelas bertentangan dengan mana-mana agama, apatah lagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, persidangan antarabangsa ini bertujuan untuk menyediakan platform kepada penyelidik, ahli akademik di seluruh dunia bagi membincangkan hak sama rata dan langkah terbaik menangani hubungan jantina.
Justeru, Prof Zainur mendesak kerajaan mengambil serius dengan membatalkan persidangan ini supaya tiada pihak dalam negara yang akan turut serta.
“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin serta memahami kerosakan sosial yang semakin meruncing, saya menggesa kerajaan dan agensi yang bertanggungjawab segera menghalang persidangan ini diadakan di Malaysia,” katanya.
Setakat ini, persidangan yang dianjurkan bersama oleh beberapa universiti itu tidak menyatakan lokasi sebenar di Kuala Lumpur. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)