Ketahui batas berpolitik elak umat berpecah

 

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mengetahui batas dalam berpolitik bagi mengelak perpecahan akibat perbezaan ideologi politik.

Sehubungan itu, atas dasar tanggungjawab, pemimpin seharusnya berpolitik secara sihat bagi menggalakkan masyarakat khususnya umat Islam bersatu padu walaupun berbeza fahaman ideologi.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, kegagalan berpolitik secara sihat boleh menanamkan rasa benci terhadap kelompok lain, sekali gus mempengaruhi pemikiran rakyat.

Katanya, persepsi negatif yang menimbulkan syak wasangka dan sangsi antara satu sama lain akhirnya boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

“Pemimpin politik perlu menunjukkan teladan baik dalam memastikan rakyat faham bahawa perbezaan fahaman bukan alasan untuk umat Islam tidak bersatu padu.

“Mereka perlu memberi pemahaman kepada rakyat bahawa dalam kalangan umat Islam, perkara asas dalam agama seperti menjaga insitusi agama adalah merentasi sempadan politik,” katanya ketika dihubungi.

Pada Jumaat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa bangsa Melayu dan Islam di negara ini bersatu padu bagi mengelakkan perpecahan walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik.

Aminuddin berkata, dalam menggerakkan usaha itu, agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan perlu berkerjasama dalam menangani sebarang masalah berkaitan umat Islam.

Sementara itu, bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya, berkata sekarang adalah masanya untuk semua pihak memikirkan kaedah membangunkan negara, bukannya berkelahi akibat politik.

Katanya, kerajaan dan rakyat perlu kurangkan bercakap hal politik atau keburukan pihak tertentu kerana ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

“Pembangunan negara khususnya kawasan luar bandar seperti di Sarawak amat memerlukan perhatian kerajaan.

“Saya bimbang negara dan rakyat boleh berpecah belah jika jurang kemajuan di antara bandar dan luar bandar tidak ditangani dengan baik,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan yang baharu ini membuktikan bahawa Sarawak dapat hak yang dijanjikan oleh kerajaan Pusat sewaktu dipujuk untuk menyertai pembentukan Malaysia setengah abad yang lalu. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts