Lahirkan hafiz profesional, teknokrat pelbagai bidang

 

Ibu bapa mempunyai anak berminat untuk mengikuti pengajian Islam, terutama tahfiz al-Quran, tidak perlu bimbang dengan masa depan anak mereka lagi.

Selain menjadi tenaga pengajar seperti guru atau pensyarah, anak mereka masih boleh memilih kerjaya profesional lain seperti doktor, peguam dan jurutera atau badan beruniform seperti polis serta tentera.

Pensyarah Jabatan Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Syahir Nazli, berkata untuk menjadi hafiz, seseorang tidak semestinya belajar di madrasah atau maahad tahfiz sahaja.

Katanya, ketika ini sudah ada sekolah rendah dan menengah menawarkan pengajian hafazan al-Quran.

“Banyak pusat pengajian turut menawarkan pengajian al-Quran, malah ada yang hingga ke peringkat diploma dan ijazah,” katanya pada Bicara Kerjaya: Pengajian Agama (Tahfiz al-Quran) menerusi laman sosial Twitter Space, baru-baru ini.

Mengenai pengiktirafan pula, Ahmad Syahir berkata, pengajian al-Quran di sekolah rendah atau menengah di bawah silibus Kementerian Pendidikan (KPM) akan mendapat pengiktirafan kementerian berkenaan.

Beliau berkata, tahfiz yang mengikuti pengajian di pusat pengajian swasta berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau pihak berkuasa tempat (PBT) pula, akan mendapat pengiktirafan Sijil Tahfiz Malaysia.

“Malah, jika mendapat keputusan tahap jayyid (baik), mereka berpeluang memohon biasiswa untuk menyambung pengajian dalam bidang lain.

“Biasiswa yang ditawarkan pelbagai pihak ini bertujuan menghargai usaha hafiz berjaya menghafaz al-Quran.

“Bagi mereka mendapat mumtaz (cemerlang) atau jayyid jiddan (kepujian) pula sudah pasti tiada masalah untuk mendapat biasiswa dan memilih menyambung pengajian dalam bidang diminati,” katanya pada forum anjuran The Patriots.

Ahmad Syahir berkata, Malaysia ketika ini dalam usaha melahirkan ramai teknokrat dan profesional pelbagai bidang dalam kalangan hafiz seperti yang banyak terdapat di rantau Arab, India, Pakistan dan Bangladesh.

Disebabkan itu katanya, sekolah rendah dan menengah sudah memulakan program hafazan al-Quran kerana penting untuk bermula dari peringkat awal.

“Negara luar sudah pun ramai lahirkan teknokrat dan profesional dalam pelbagai bidang dalam kalangan hafiz al-Quran. Kita mahu contohi mereka kerana kita akan tahu kepakaran mereka bukan sahaja dalam bidang mereka ceburi, bahkan juga pengajian Islam.

“Sebagai contoh, seorang jurutera juga mampu mengintegrasi al-Quran dalam bidang diceburi. Ini juga antara visi KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ketika ini,” katanya.

Ahmad Syahir berkata, usaha itu meneruskan kegemilangan tamadun Islam yang melahirkan ramai cendekiawan hafiz al-Quran dalam pelbagai bidang.

“Dengan adanya usaha melahirkan generasi tahfiz profesional, mungkin selepas ini banyak rujukan kita boleh peroleh daripada tokoh Islam pula,” katanya.

Mengenai usia sesuai menjadi hafiz, Ahmad Syahir berkata, tiada had usia namun ada berjaya bermula seawal usia tujuh tahun.

Namun, katanya, beliau pernah berjumpa dengan hafiz berusia 74 tahun ketika berada di Mesir sebelum ini.

“Usia bukan penghalang untuk menjadi hafiz kerana apa yang penting ialah minat dan kesungguhan untuk belajar,” katanya.

Beliau berkata, bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka juga berpeluang menjadi hafiz tetapi perlu memilih sama ada sepenuh masa atau bersepadu dengan akademik.

“Jadi bincang elok-elok dengan ibu bapa, fahamkan mereka betul-betul tujuan mahu menjadi hafiz dan pilih tempat pengajian sesuai dengan tahap diri sendiri kerana cara pembelajaran di setiap pusat pembelajaran tidak sama.

“Ada pusat pengajian menawarkan pengajian menghafaz al-Quran seawal jam 4 pagi dan berakhir hingga selepas Isyak. Ada juga bermula 8 pagi dan perlu masuk ke kelas mengikut silibus disediakan. Jadi cara pembelajaran bergantung kepada pusat pengajian itu,” katanya.

Justeru, beliau berharap, ibu bapa tidak lagi bimbang dengan pilihan anak untuk menjadi hafiz kerana masa depan anak mereka tidak hanya terhad dalam pengajian Islam sahaja. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts