PULAU PINANG – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sebelum melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di sepanjang Jalan Kenari, Bayan Lepas, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata kejadian berlaku sekitar jam 11.55 malam apabila sebuah Honda Accord dipandu lelaki berusia 58 tahun terbabit melanggar sebuah Proton X70 dan tiga lagi kenderaan berhampiran Gereja Divine Mercy.
“Suspek ditahan oleh sepasukan anggota trafik daerah tidak lama selepas kemalangan. Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pemandu atau individu lain di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau berkaitan dadah.
Menurut Sazalee, suspek kini ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Trafik Bayan Lepas untuk siasatan lanjut dan dijangka direman di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini. Polis turut menyita kenderaan Honda Accord yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam