LGBT: Dosa tertutup atau maksiat antarabangsa?

 

PANDANGAN Islam terhadap LGBT adalah jelas, ia adalah perbuatan terkutuk dan haram. Bahkan ia adalah jijik di sisi fitrah dan tamadun manusia tidak kira muslim atau bukan pada asalnya, sehinggalah normalisasi hawa nafsu yang berlaku mengakibatkan sebahagian dunia hari ini hilang neraca fitrah.

Dalil-dalil dan huraian mengenai pengharaman LGBT boleh dibaca di sini:
http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/Hadis-hadis_Sahih_Berkaitan_Perlakuan_LGBT.pdf

Allah SWT juga telah mengekalkan kepada kita Laut Mati di Jordan hari ini, supaya manusia sentiasa mengingati azab dahsyat yang telah menimpa pelaku LGBT di zaman silam, apabila peringatan Nabi diingkari mereka.

Perbincangan mengenai LGBT sebagai dosa peribadi yang dibuat secara tertutup hampir-hampir sudah tidak releven hari ini. Sekiranya perbuatan terkutuk itu benar-benar dilakukan secara tersembunyi dan hanya Allah SWT yang tahu pastinya masyarakat tidak akan gundah gelana kerana perkara tersebut tidak akan diketahui langsung sedang berlaku, namun adakah ia begitu?

20 atau 30 tahun lalu mungkin kita oleh beranggapan begitu tetapi tidak pada tahun 2018 ini. LGBT tidak dilakukan secara tersembunyi tetapi diasak secara kuat supaya tabiat songsang itu diterima oleh masyarakat secara moral dan undang-undang, ia bukan lagi perbuatan antara dia dengan Allah SWT semata-mata.

Di peringkat antarabangsa mereka mempunyai ILGA iaitu International Lesbian, Gay, Bisexual, Trans And Intersex Association, pertubuhan yang menaungi 1200 organisasi LGBT dari 132 buah negara di seluruh dunia. Di peringkat PBB, sebanyak 96 buah negara telah menyokong deklarasi hak golongan LGBT.

Pada tahun 2011 UN Human Rights Council telah meluluskan resolusi menentang diskriminasi terhadap LGBT, atau dengan kata lain LGBT mempunyai hak asasi untuk mengamalkan pengamalan songsang tersebut di peringkat antarabangsa.

Pada 2015 pula UN Security Council telah membuat mesyuarat khas mengenai hak-hak LGBT.

Sehingga 2017 sebanyak 28 buah negara telah mengiktiraf hubungan LGBT dan 23 daripadanya mengiktiraf perkahwinan LGBT.

Di Malaysia pula walaupun undang-undang masih belum memihak kepada LGBT tetapi tekanan terus dilakukan secara tersusun. Terdapat banyak organisasi yang sedang memperjuangkan hak LGBT seperti COMANGO, Human Rights Committee of the Malaysian Bar, SUARAM, PT Foundation, KRYSS, Women’s Candidacy Initiative, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Sister in Islam (SIS), Seksualiti Merdeka dan lain-lain lagi.

Terdapat juga ahli-ahli politik yang mempertahankan LGBT secara terbuka seperti MP Klang dan MP Petaling Jaya.

Dengan segala fakta di atas yang hakikatnya masih di permukaan, adakah cukup penyelesaian LGBT dengan dialog semata-mata tanpa penguatkuasaan?

Golongan LGBT yang sudah insaf dan ingin berubah pastinya perlu dibimbing sebaiknya tetapi bagaimana mereka akan berubah sekiranya mereka mempunyai kedudukan yang cukup selesa dan mempunyai organisasi serta gerakan yang sentiasa membela dan mendoktrin bahawa LGBT itu normal dan mempunyai hak?

Isu LGBT perlu ditangani dengan pelbagai cara mengikut bentuk pergerakan mereka, dialog membawa kepada taubat boleh dilakukan kepada individu-individu tetapi penguatkuasaan terhadap promosi dan gerakan LGBT juga perlu berjalan seiring, kerana LGBT bukan lagi dosa tertutup tetapi maksiat antarabangsa.

Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan

——

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

▪️ telegram.me/indahnyaislam
▪️ instagram.com/indahnya.islam

Total
0
Shares
1 comment
  1. Kalau ikut kehendak LGBT dlm tempoh 10 tahun akan kurang kelahiran bayi. Lama kelamaan manusia akan berkurangan hanya yg beriman saja yg masih hidup subur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts