home Semasa LGBTQ ancam identiti anak-anak

LGBTQ ancam identiti anak-anak

Kelakuan terdesak segelintir aktivis hak asasi manusia sesuai diibaratkan seperti burung terbang dipipiskan lada apabila terbongkar rancangan licik mereka untuk menormalisasikan elemen lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) di sekolah. Pemilik akaun laman sosial Instagram dengan nama Sekolah Semua baru-baru ini  menganjurkan sebuah program sembang santai yang membicarakan tentang keupayaan kerajaan untuk memastikan hak pendidikan buat pengamal homoseksualiti antara lain dipelihara. Dakwaan si tetamu jemputan bahawa sekolah telah gagal menjadi institusi yang selamat buat para pelajar hanya kerana terdapat kes-kes buli terhadap individu berperwatakan lembut dan kurang ‘jantan’ adalah satu tuduhan liar dan berat sebelah.

Kenyataan penuh dangkal terserlah apabila aktivis ini hanya menyentuh aspek mangsa lelaki yang menunjukkan perilaku keperempuanan layak dijadikan sebagai mangsa buli di sekolah. Realitinya, kempen antibuli dan idea sekolah selamat untuk semua sudah dijalankan selama berdekad bagi melindungi kesemua pelajar tanpa mengira latar belakang jantina atau perilaku fizikal mereka. Adapun kempen tersebut tidak seharusnya berjalan secara bermusim kerana tidak dinafikan wujudnya entiti yang sering membuat onar di sekolah bagi melampiaskan amarah tidak bertempat mereka.

Sekolah yang sepatutnya menjadi pusat pendidikan yang sempurna dan seimbang dengan harapan ia dapat membentuk masyarakat terbilang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani juga tidak terlepas daripada penularan gaya hidup songsang. Tidakkah golongan ini, yang sering kali memenangkan hawa nafsu lalu membelakangkan fakta saintifik serta larangan agama, sedar bahawa tindakan membawa masuk agenda LGBTQ ke sekolah merupakan satu langkah ke belakang?

Hasrat Kementerian Pendidikan bakal terbantut sekiranya penentangan sesetengah pejuang hak asasi terhadap sistem pendidikan negara tidak diatasi dengan baik. Mampukah pendidikan negara kita dianggap berkualiti sekiranya silibus pendidikan seksualiti mengajar anak-anak remaja bahawa wujudnya jantina ketiga atau keempat selain lelaki dan perempuan? Dapatkah penuntut ilmu ini menjadi insan terdidik setelah mereka dipaksa untuk menerima konsep janggal bahawa sesebuah perkahwinan itu boleh dimeterai antara pasangan sesama jenis, tanpa memperdulikan latar belakang agama dan budaya? Sejahterakah Malaysia jika calon pemimpin negara dihasut dengan fahaman bahawa peruntukan jenayah liwat, aksi lucah melampau serta musahaqah (lesbianisme) itu perlu dimansuhkan?

Rata-rata ahli masyarakat apabila dikemukakan dengan persoalan di atas akan memberikan respon negatif kerana terlalu bimbang dengan pembentukan peribadi anak-anak mereka pada masa hadapan. Namun, jika diteliti kebelakangan ini, pelbagai sesi bual bicara dalam talian anjuran badan swasta dan agensi bukan kerajaan muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan bagi tujuan ‘solidariti’ kepada individu LGBTQ. Masakan tidak, pihak liberal acap kali melaungkan desakan yang menjurus kepada pengiktirafan amalan hubungan seks sejenis selain meraikan kepelbagaian kecelaruan orientasi seksual setibanya bulan Jun yang didedikasikan bagi sambutan ‘Pride.’

Tanda pagar #tetapbangga dengan ikon bendera pelangi turut tular di laman sosial bagi mengajak masyarakat untuk bersifat lebih ‘inklusif’ dengan memaparkan sikap empati terhadap individu pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina. Tidak cukup itu, syarikat korporat gergasi dengan jenama terkemuka seperti Apple, Microsoft, Shell, Ikea dan Starbucks juga tunduk kepada asakan inklusiviti dan kepelbagaian atas dasar ‘kemanusiaan’ walaupun bercanggahan dengan prinsip agama dan moraliti sebahagian besar pelanggan mereka.

Banyak perkara yang perlu dipelajari dan dijadikan pengajaran dari negara Barat yang sudah masak dan arif dengan penerimaan LGBTQ di sekolah. Slogan sekolah selamat bagi individu LGBTQ sudah mula dituntut lebih sedekad lalu di Amerika Syarikat (AS) dan mula berkuat kuasa selepas Akta Kesamarataan 2010 diluluskan. United Kingdom (UK) pula tekad dalam memastikan peruntukan baharu sistem pendidikan negara mewajibkan pembelajaran kepelbagaian jenis hubungan dan pendidikan seks (RSE). Anak-anak di sekolah rendah diajar untuk menerima komposisi keluarga nukleus yang asing daripada amalan konvensional dan disuruh untuk menyambut baik kelompok ini walaupun hakikatnya fitrah mereka tidak bersetuju.

Hasilnya, ribuan anak-anak dan remaja di UK dan AS telah termakan tipu daya untuk mengambil ubat menghalang baligh (puberty blocker) hanya kerana timbul perasaan untuk menukar jantina. Kebanyakan mangsa cilik ini turut mengalami pengantunan secara halus melalui kemasukan ratu maknyah sebagai tukang cerita di tadika-tadika. Sekolah-sekolah mereka juga sudah mula meraikan transkid dengan membenarkan perkongsian tandas, lalu membahayakan keselamatan anak-anak perempuan dan remaja lelaki. Ibu bapa yang masih berpegang kuat dengan ketetapan agama dan nilai tradisional masyarakat di sana sedang bergelut dan bertungkus lumus membantah undang-undang tersebut. Apakah rakyat Malaysia kini masih mahu berdiam diri dan menunggu identiti suci anak-anak retak menanti belah?

Saranan penulis adalah supaya semua pihak bersuara, berganding bahu dan berusaha memerangi kemasukan elemen LGBTQ di sekolah waima apa cara sekali pun kerana sikap agresif para pengamal dan aktivis songsang ini jika dibiarkan, boleh melarat sehingga menjejaskan keharmonian negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Untuk memastikan sekolah selamat, bukan ibu bapa sahaja yang perlu menempelak, malah para pemuda dan pemimpin negara turut diseru untuk menyekat desakan pro-LGBTQ bagi melindungi kanak-kanak daripada menyalahgunakan akal serta tubuh badan mereka dalam usaha meraikan hawa nafsu terlarang.

NUR FARIHAH MEOR MAZLI
Ketua Biro Media WAFIQ

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *