home Semasa Masjid jadi pusat transit keganasan rumah tangga

Masjid jadi pusat transit keganasan rumah tangga

 

KUALA LUMPUR : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkolaborasi bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan menjadikan masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga.

Langkah itu bagi menyerlahkan lagi fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat meliputi keperluan psikososial dan spritual.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, projek masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 melalui teras Sosial, Komuniti dan Alam Sekitar dengan penjenamaan Masjid Prihatin.

“Justeru, dengan kolaborasi masjid sebagai tempat pusta transit ini, maka masjid akan menghulurkan bantuan seadanya untuk meringankan dan menyelesaikan masalah tersebut sekurangnya ada tempat untuk bernaung, ada tempat untuk berlindung sementara penyelesaian yang lebih muktamad lagi dan berkesan dapat dilaksanakan.

“Saya amat sokong kerjasama ini dan kita akan cuba mengurangkan tekanan dan stress kalangan wanita akibat konflik rumah tangga untuk diselesaikan sebaik mungkin,” katanya semasa sidang media bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sempena Majlis Pelancaran Masjid Sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dua buah masjid dipilih sebagai perintis program iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail dengan berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus yang disediakan.

Manakala, 12 buah masjid di Wilayah Persekutuan telah dipilih menjadi pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi dan kaunseling dalam usaha membina sebuah masyarakat yang harmoni di samping memperkasakan lagi komuniti melalui sokongan psikososial dan penganjuran pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran berkaitan isu-isu jenayah rumah tangga di dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, Modul Skuad WAJA telah dibangunkan Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia yang memfokuskan kepada penyampaian ilmu dan kemahiran asas psikologi dalam usaha meningkatkan keseimbangan kendiri, keluarga, komuniti setempat dan masyarakat keseluruhannya.

Setakat ini, 19 orang pegawai JAWI dan masjid telah menjalani sesi latihan Skuad WAJA awal tahun ini.

“Keganasan rumah tangga ini tidak kira waktu dan masa. Masjid ini merupakan tempat yang dekat dengan hati masyarakat. Jadi dia sudah pasti mana nak pergi. Apabila dia sampai di masjid ini, kita telah melantik 19 pegawai ini sebagai pusat aduan.

“Ada SOP-SOP tertentu apabila mereka ini sampai di masjid, dan kita hanya sebagai pusat transit sementara sebelum dipindah ke mahkamah dan dia akan dipindahkan ke pusat perlindungan wanita,” kata Rina.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan.

Manakala merujuk kepada statistik Talian Kasih KPWKM, dari Januari hingga Disember 2020, sebanyak 2540 kes keganasan rumah tangga telah diterima.

Bagi empat bulan pertama untuk tahun 2021 iaitu dari Januari hingga April, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan. – Astro Awani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *