‘Kuasa solat, doa bantu keputusan cemerlang’

Kajang: Kaedah pembelajaran tidak konsisten dan sering bertukar ganti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac 2020 sedikit sebanyak menjejaskan fokus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Begitupun, berkat kesabaran dan kesungguhan guru serta pelajar menghabiskan sukatan pelajaran dalam masa ditetapkan antara resipi kejayaan Muhammad ‘Akashah Azman, 22, mendapat 7A 2B dalam SPM tahun lalu.

Penerima Anugerah Tokoh Pelajar Lilbanin (Lelaki) Akademi Lembah Ilmu (AKLI) menyifatkan, ‘power of solat’ dan ‘power of doa’ sebagai dua rahsia utama kejayaannya selain konsisten mengulangkaji pelajaran bersama rakan ketika negara berdepan pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan.

“Sentiasalah solat berjemaah dan mohon doa serta restu ibu bapa bagi setiap perkara dilakukan. Buatlah perkara baik walaupun diri kita belum baik.

“Kami terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara tiba-tiba tanpa sebarang persediaan ketika pelaksanaan PKP dan ia agak menyukarkan untuk memahami pelajaran dengan baik pada mulanya,” katanya yang kini menyambung pengajian di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu.

Dia antara 114 calon SPM 2020 yang diraikan dalam Majlis Graduasi AKLI kali ke-3 di Auditorium Dr Zainuddin Jaafar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini, kelmarin.

Menurutnya, hasil kombinasi terbaik kesungguhan guru dan kegigihan pelajar mengikuti PdPR mengikut silibus ditetapkan membuahkan hasil positif apabila mendapat kejayaan cemerlang dalam SPM.

Sementara itu, Pengetua AKLI, Naimah Muhammad berkata, calon SPM 2020 adalah batch paling bersejarah apabila berdepan ujian paling getir dan sangat mencabar sejak penubuhan AKLI sedekad lalu.

“Terima kasih atas pengalaman ini, ia menjadi panduan untuk AKLI melakukan penambahbaikan pada tahun seterusnya. Begitupun, kita bersyukur dan Alhamdulillah kerana dapat mencapai kejayaan.

“Tahniah kepada pelajar yang dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Jangan berhenti setakat ini saja. Jadilah seorang yang memberi manfaat kepada orang lain walau sekecil mana sekalipun,” katanya.

Menurutnya, AKLI adalah sekolah menengah swasta berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan memfokuskan pengambilan pelajar lepasan tahfiz atau pondok untuk menduduki peperiksaan SPM secara trek pantas dalam masa setahun setengah. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts