Memorandum Bantahan Ratifikasi International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
1. Gerakan Pembela UMMAH sebagai gabungan lebih daripada 300 badan-badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara memandang berat kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy dan Mujahid Yusof Rawa, bahawa kerajaan bercadang untuk meratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Disrimination (ICERD) pada awal tahun hadapan.
2. UMMAH komited menentang sebarang bentuk diskriminasi tidak adil yang menganiaya mana-mana pihak, tanpa mengira kaum atau agama. Walaubagaimanapun, dalam masa yang sama, kita juga harus akur dengan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, di mana terdapat beberapa pengecualian yang membenarkan “diskriminasi” tanpa menganiayai mana-mana kaum. Hal ini adalah hasil daripada kebijaksanaan bapa-bapa kemerdekaan kita dahulu, maka dapat ditemui antara lain Perkara 153 Perlembagaan, yang menggunakan istilah “melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri … Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.”
3. ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969. Malaysia tidak pernah menandatangani apatah lagi meratifikasinya, bukan kerana Malaysia sebuah negara yang mengamalkan atau menerima fahaman rasis, sebaliknya kerana ia mempunyai implikasi besar yang bercanggah dengan pelbagai peruntukan Perlembagaan seperti yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan kita lebih 60 tahun dahulu.
4. Takrif diskriminasi kaum di bawah ICERD adalah amat luas, meliputi “sebarang perbezaan … atau keutamaan berdasarkan bangsa … keturunan … atau asal-usul kebangsaan” (Artikel 1 ICERD). Ini sudah tentu bercanggah dengan intipati utama kontrak sosial seperti yang terjelma dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153 (berkenaan kedudukan Istimewa Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak), Perkara 160 (berhubung takrif Melayu dan ikatannya dengan Islam) dan Perkara 89 (mengenai tanah rizab Melayu di bawah Enakmen-Enakmen di peringkat Negeri-negeri).
5. Kesan dan jangkauan jika ICERD diratifikasikan akan mencakupi dan memberi kesan buruk kepada pelbagai institusi dan polisi, antara lain:
i) MARA hendaklah dibubar
ii) MRSM hendaklah ditutup
iii) UiTM tidak boleh dikhususkan kepada Melayu dan Bumiputera.
iv) Tanah Rizab Melayu hendaklah dihapuskan.
v) Rejimen Askar Melayu Diraja merupakan satu diskriminasi.
vi) Biasiswa yang mengkhususkan untuk Bumiputera hendaklah dihapuskan.
vii) Diskaun perumahan yang mengkhususkan untuk Bumiputera hendaklah dihapuskan.
viii) Syarat tawar tender yang mengkhususkan untuk Bumiputera dalam tender dan lesen perniagaan hendakalah dihapuskan.
6. Bahkan cakupan ICERD bukan sahaja menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak, tetapi akan juga melanggar urus-tadbir perundangan syariah di Negeri-Negeri. Hal ini kerana Artikel 5d(iv), (vi) dan (vii) ICERD melarang sebarang bentuk diskriminasi untuk kebebasan berkahwin silang agama dan bangsa, kebebasan untuk keluar agama (termasuk murtad), dan hak terhadap perwarisan harta — yang kesemuanya bercanggah dengan Perkara 160 Perlembagaan yang menetapkan bahawa Melayu itu menganut agama Islam, dan justeru tertakluk kepada hukum syara’.
7. Artikel 5(c) dan 5(d)(ix) ICERD akan turut mempunyai implikasi bahawa parti politik berdasarkan bangsa adalah salah dan perlu dihapuskan kerana “mendiskriminasi” ahlinya mengikut kaum. Parti PPBM / BERSATU di mana Yang Amat Berbahagia Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad adalah Pengerusinya, akan bercanggah dengan ICERD. Demikian juga UMNO, MCA, MIC, dan parti-parti anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.
8. Sungguhpun terdapat suara-suara yang cuba menjustifikasikan usaha untuk menandatangani dan meratifikasi ICERD dengan memberi alasan kononnya Malaysia boleh membuat pengecualian “reservation” terhadap perkara-perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan, tetapi hakikatnya hal ini tidak mungkin dapat dilakukan, kerana perkara-perkara yang bertentangan tersebut adalah menyentuh objektif dan intipati tujuan ICERD itu sendiri. Artikel 20 ICERD melarang sebarang pengecualian ataupun “reservation” yang bercanggah dengan objektif dan tujuan ICERD. Larangan yang sama turut diperuntukkan dalam Konvensyen Vienna berkenaan Undang-Undang Perjanjian Antarabangsa.
9. Justeru, mengambil kira bahawa hasrat kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi ICERD adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka UMMAH mendesak bahawa kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa, sebaliknya perlu lebih berhati-hati dan mengambil langkah-langkah seperti berikut:-
(a) Rujukan perlu dibuat kepada pakar-pakar Perlembagaan dan perundangan yang non-partisan dan objektif serta berwibawa berkenaan natijah dan kesan ICERD terhadap sistem perundangan Malaysia;
(b) Perkara ini hendaklah disembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Tanpa perkenan Majlis Raja-Raja, ICERD TIDAK BOLEH ditandatangani dan diratifikasi oleh Malaysia, kerana Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang perkara yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidangkuasa Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Dewan Undangan Negeri yang terlibat; dan
(c) Perkara ini juga perlu dibahaskan secara terbuka di Parlimen, dengan penuh kejujuran tanpa berselindung tentang implikasi sebenar terhadap peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan, jika Malaysia meratifikasi ICERD.
10. Suatu bantahan ICERD melalui petisyen atas talian telah dilancarkan sejak 6 hari yang lepas di https://www.change.org/p/pendokong-perlembagaan-bantahan-ratifikasi-konvensyen-antarabangsa-icerd dan kini telah berjaya mengumpulkan lebih 55,000 penandatangan. Jumlah ini berterusan bertambah dari semasa ke semasa, yang menunjukkan kerisauan dan kemarahan rakyat, serta tidak seharusnya diabaikan atau tidak dipedulikan oleh pihak kerajaan.
11. Apabila menyentuh usaha untuk menjalin hubungan baik antara kaum di Malaysia, kita seharusnya mengambil iktibar dari kearifan lokal dan rekod baik Malaysia selama lebih 60 tahun. Kita perlu membentuk perpaduan mengikut acuan sendiri, tanpa tunduk kepada tekanan luar yang belum tentu faham akan sejarah, budaya dan prinsip timbal-balik antara kaum yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Malaysia tidak pernah menandatangani ICERD selama ini bukanlah atas sebarang ideologi rasis atau supremasis, sebaliknya bagi memastikan kesaksamaan dan keseimbangan sosial dalam meraikan kepelbagian kebudayaan di negara ini.
Aminuddin Yahaya
PENGERUSI
Gerakan Pembela UMMAH
31 Oktober 2018
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)