Pemuda dan fitnah keimanan

Surah al-Kahfi bermula dengan kisah beberapa orang pemuda yang menyatakan keimanannya kepada Allah di saat pembesar dan masyarakatnya ketika itu syirik kepada Allah dan menyembah berhala. Lalu pemuda-pemuda ini membuat keputusan untuk lari ke gua (al-kahfi) bagi menyelamatkan iman mereka setelah diancam oleh pembesar pada zamannya. Maka disebabkan rahmat Allah mereka telah ditidurkan sehingga beratus-ratus tahun lamanya di dalam gua tersebut.

Melalui kisah ini, beberapa pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan kita semua.

Pemuda yang Beriman

Kisah manusia beriman yang ditidurkan Allah di dalam gua beratus-ratus tahun dahulu merupakan beberapa orang pemuda. Ini disebut di dalam surah al-Kahfi ayat 13:

إِنَّهُمۡ فِتۡیَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدࣰى

“Sesungguhnya mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi lagi mereka dengan hidayah petunjuk.”

Pemuda-pemuda ini terpilih disebabkan keimanan mereka kepada Allah. Lantas Allah menambahkan lagi petunjuk kepada mereka dengan kesabaran dan keberanian seperti firman Allah pada ayat berikutnya:

وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَا۟ مِن دُونِهِۦۤ إِلَـٰهࣰاۖ

“Dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun (dihadapan raja dan pembesar) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan penguasa langit dan bumi. Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan selain daripada-Nya”

Kenapa Allah menekankan pemuda?

Sifat pemuda kebiasaannya mudah cenderung kepada nafsu syahwat dan hidup dalam keseronokan. Lalu disebabkan keimanan para pemuda Allah mengangkat darjat mereka dengan mendapat keistimewaan sehingga tercatat kisah mereka di dalam al-Quran.

Rasullullah SAW pernah bersabda:

إن الله عز وجل ليعجب من الشاب ليست له صبوة.

“Sesungguhnya Allah kagum dengan pemuda yang tidak memiliki sobwah (kecenderungan untuk menyimpang daripada kebenaran)..”
[HR. Ahmad dihasankan oleh syeikh Syu’aib al-Arnauth]

Hadis ini dikuatkan dengan hadis lain, iaitu tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, salah satunya adalah:

وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ

“Seorang pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allah..”
[Muttafaqun ‘Alaih]

Lihat bagaimana akhlak dan keperibadian pemuda al-Kahfi saat kelaparan dan sukar mencari makanan setelah dibangkitkan daripada tidur yang lama, mereka masih berpesan-pesan agar mencari makanan yang halal dan bersih.

فَٱبۡعَثُوۤا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمۡ هَـٰذِهِۦۤ إِلَى ٱلۡمَدِینَةِ فَلۡیَنظُرۡ أَیُّهَاۤ أَزۡكَىٰ طَعَامࣰا

“Sekarang utuslah salah seorang daripada kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar. Kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal..” (Al-Kahfi: 19)

Perbuatan ini adalah tanda keimanan mereka yang kuat kepada Allah.

Fitnah Keimanan

Ujian dan fitnah keimanan sentiasa wujud pada hati orang yang beriman. Hati seseorang adalah tempat persaingan di antara iman dengan hawa nafsu (kufur, syirik dan nifaq). Ia akan terus berlaku sehinggalah seseorang itu kembali kepada Allah. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

“Fitnah (keraguan ataupun nafsu syahwat) akan dibentangkan kepada hati bagaikan tikar yang ditenun sedikit demi sedikit. Hati yang menerima fitnah tersebut akan diberikan titik hitam dan hati yang menolaknya akan diberikan titik putih, sehingga hati menjadi dua jenis; satu yang menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak akan membahayakan apa sekalipun fitnah kepadanya selama langit dan bumi masih ada, dan satu lagi menjadi hitam keabu-abuan bagaikan gelas terbalik yang tidak kenal apa yang baik dan tidak mengingkari kemungkaran kecuali memilih apa yang diinginkan hawa nafsunya.”
(HR Muslim)

Semakin banyak titik hitam disebabkan fitnah yang wujud pada hati, semakin banyak cahaya iman yang akan keluar umpama gelas berisi air yang semakin senget sehingga terbalik lalu menumpahkan keseluruhan airnya. Maka hati tidak akan kenal baik mahupun buruk serta sukar untuk menerima hikmah dan timbangan akal yang sejahtera.

Adapun jika hati memilih untuk tidak menerima dan bertoleransi dengan fitnah hawa nafsu, maka ia akan menyuburkan cahaya iman di dalam hati. Segala jenis fitnah tidak akan membahayakannya sedikit pun. Perisai imanlah yang melindunginya daripada segala fitnah dan cahaya iman akan menyuluh hatinya agar tetap berada dalam kebenaran.

Orang yang memilih fitnah untuk menguasai hatinya adalah orang yang mempertaruhkan iman dan akhirat mengatasi nafsu dan dunianya yang sementara. Justeru, paling utama adalah seseorang itu perlu mengingkari dan tidak bertoleransi dengan fitnah tersebut.

Perkara ini adalah selemah-lemah dan serendah-rendah iman yang perlu dijaga sesuai dengan apa yang pernah Nabi SAW sabdakan:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”
[HR Muslim]

Kisah pemuda al-Kahfi adalah sebuah contoh bagaimana kita berhadapan dengan situasi yang sukar diubah dengan tangan atau lidah, maka sekurang-kurangnya perlu ingkar dengan hati serta jangan menerimanya atas dasar toleransi kerana ia adalah tempat Allah melihat dan menghukum seseorang. Soal iman dan akidah merupakan sebesar-besar perkara di sisi Allah dan ia bakal menentukan kita samada kekal di syurga ataupun kekal di dalam neraka.

Keajaiban dan Kuasa Allah SWT

Nabi SAW pernah memberi amaran di dalam sebuah hadis:

مَنْ سَمِعَ بِالدَّجَّالِ فَلْيَنْأَ عَنْهُ، فَوَاللَّهِ إِنَّ الرَّجُلَ لَيَأْتِيهِ وَهُوَ يَحْسِبُ أَنَّهُ مُؤْمِنٌ فَيَتَّبِعُهُ، مِمَّا يُبْعَثُ بِهِ مِنَ الشُّبُهَاتِ

“Barangsiapa mendengar kemunculan Dajjal, maka menjauhlah darinya. Demi Allah, ada seseorang yang mendatangi Dajjal dan dia mengira bahawa dia mempunyai iman (yang kuat), (tetapi akhirnya) dia yang menjadi pengikut Dajjal disebabkan keraguan yang ditimbulkan olehnya”.
(HR Abu Daud dan disahihkan oleh Al Albani)

Dajjal akan membawa keraguan yang paling besar iaitu keraguan akidah dan iman sehingga dengan keraguan tadi membuatkan seseorang itu menjadi pengikutnya. Keraguan yang dilakukannya adalah berbentuk keajaiban dan perkara-perkara yang luar biasa daripada kemampuan manusia.

Walaupun seseorang merasakan imannya kuat namun tipu daya Dajjal lebih kuat sehingga mampu membuatkan seseorang itu terpedaya lantas membenarkan dakwaannya sebagai Nabi mahupun Tuhan!

Lalu bagaimana untuk menyelamatkan iman dan terselamat daripada fitnah Dajjal?

Rasulullah SAW bersabda:

من حفظ عشر آيات من أول سورة الكهف عصم من الدجال

“Sesiapa menghafal sepuluh ayat daripada permulaan surah al-Kahfi, akan terselamat daripada Dajjal.”
(HR Muslim)

Imam an-Nawawi berkata bahawa sepuluh ayat pertama daripada surah al-Kahfi terdapat tanda-tanda kebesaran Allah dan perkara-perkara yang ajaib. Kisah pemuda al-Kahfi adalah salah satu keajaiban daripada banyak keajaiban yang merupakan tanda kekuasaan Allah.

Allah SWT berfirman:

أَمۡ حَسِبۡتَ أَنَّ أَصۡحَـٰبَ ٱلۡكَهۡفِ وَٱلرَّقِیمِ كَانُوا۟ مِنۡ ءَایَـٰتِنَا عَجَبًا

 “Adakah engkau menyangka bahawa kisah pemuda yang ditidurkan di dalam gua dan (mempunyai) ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?”
[Al-Kahfi: 9]

Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini, beliau membawa pandangan Imam Mujahid, kata beliau:

“Sesungguhnya ada di antara tanda kekuasaan Allah yang lebih menakjubkan daripada itu.”
[Tafsir Ibn Kathir]

Allah menegaskan keajaiban kisah ini hanyalah kecil sahaja dibandingkan dengan lebih banyak keajaiban yang lain.

Kata Imam an-Nawawi: “Barangsiapa yang meyakini kebesaran Allah dan keajaiban-Nya tidak akan pelik dengan apa yang dilakukan oleh Dajjal dan tidak akan teruji dengan fitnahnya serta dimudahkan oleh Allah untuk bersabar ke atas ujiannya.”

Justeru, persiapan yang paling utama bagi orang yang beriman adalah memperkuatkan keyakinannya bahawa setiap keajaiban yang berlaku adalah merupakan kuasa Allah SWT.

Selain itu, jangan berharap agar dapat berhadapan dengan Dajjal, tetapi pintalah kepada Allah perlindungan serta rahmat dan petunjuk daripada-Nya agar diberikan kesejahteraan iman sepertimana yang dilakukan oleh pemuda al-Kahfi:

إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡيَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةٗ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدٗا

“Ketika pemuda-pemuda tersebut menuju ke gua lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan permudahkan kami untuk mendapat petunjuk-Mu dalam urusan (agama) kami.”
(Al-Kahfi: 10)

Bersama Orang Soleh

Allah juga ada merakamkan satu pengajaran kepada Nabi SAW dan umatnya agar mencari sahabat yang baik serta sentiasa bersama dan bersabar dengannya.

Allah SWT berfirman:

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡهُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطٗا

Maksudnya: Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
[Al-Kahfi: 28]

Allah mengajar orang yang beriman agar tetap bersabar dan tidak meninggalkan orang yang soleh disebabkan keinginan jiwa yang mahukan kesenangan hidup di dunia. Sabar dalam melaksanakan ketaatan ini adalah setinggi-tinggi darjat sabar dan besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Saat pemuda al-Kahfi diuji dengan keimanan, mereka memilih untuk bersama dengan orang yang beriman kepada Allah lalu mereka berdoa meminta rahmat dan petunjuk kepada Allah SWT.

Selain itu, jangan sesekali terpengaruh dengan orang yang lalai mengingati Allah, yang menurut hawa nafsu serta tidak pula patuh kepada ajaran agama.

Hal ini juga dapat dilihat apabila pemuda al-Kahfi mengasingkan diri daripada kaum mereka yang kufur sepertimana yang dirakamkan Allah SWT:

وَإِذِ ٱعۡتَزَلۡتُمُوهُمۡ وَمَا يَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأۡوُۥٓاْ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ يَنشُرۡ لَكُمۡ رَبُّكُم مِّن رَّحۡمَتِهِۦ وَيُهَيِّئۡ لَكُم مِّنۡ أَمۡرِكُم مِّرۡفَقٗا

“Dan apabila kamu telah mengasingkan diri daripada mereka dan dari apa yang mereka sembah selain daripada Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, nescaya Tuhan kamu akan melimpahkan rahmat-Nya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna.”
[al-Kahfi: 16]

Kebersamaaan dengan orang yang soleh serta pengasingan diri daripada kaum yang kufur agar tidak terpengaruh dengan kekufuran mereka mendatangkan rahmat dan pertolongan Allah daripada segala fitnah mahupun bahaya, segala kesukaran akan dipermudahkan dan segala ketakutan akan digantikan dengan keamanan.

Kesimpulan

Rasulullah SAW bersabda:

مَا يَضُرُّكَ مِنْهُ قُلْتُ لِأَنَّهُمْ يَقُولُونَ إِنَّ مَعَهُ جَبَلَ خُبْزٍ وَنَهَرَ مَاءٍ قَالَ هُوَ أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ ذَلِكَ

“Tidak mungkin Dajjal dapat memperdayakanmu”. Sahabat berkata: “Ada yang mengatakan bahawa Dajjal itu memiliki segunung roti dan air sepanjang sungai”. Rasulullah SAW menjawab “Sesungguhnya perkara itu sangat mudah di sisi Allah daripada itu.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Menarik untuk dilihat penerangan Al-Qadhi terhadap hadis di atas, kata beliau:

“Lebih mudah di sisi Allah untuk menambahkan keimanan bagi orang yang beriman dan menambahkan keraguan bagi orang yang mempunyai penyakit di dalam hati berbanding dengan apa yang Allah izinkan pada kedua tangan Dajjal dalam mencipta sesuatu untuk menyesatkan orang beriman dan meragukan hati orang yang yakin.”
[Fathul Bari]

Kata-kata ulama’ di atas menerangkan bahawa orang yang beriman dengan keyakinan yang sebenarnya akan diselamatkan oleh Allah. Seperti kisah yang pernah diceritakan oleh Nabi SAW:

“Kemudian Dajjal pun membunuhnya (lelaki yang terbaik pada waktu itu) lalu menghidupkannya semula. Lalu lelaki (yang dibunuh dan dihidupkan semula) tadi berkata: “Demi Allah, pengetahuanku sekarang tentangmu (tentang Dajjal yang diceritakan Rasullah SAW di dalam hadisnya) lebih jelas lagi pada hari ini.”
[Muttafaqun ‘Alaih]

Hakikatnya fitnah bagi orang yang beriman akan lebih menambahkan keimanannya kepada Allah SWT. Wallahua’lam

Semoga Allah menetapkan hati kita di atas keimanan dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah termasuk fitnah yang dahsyat iaitu fitnah Dajjal.

Ustaz Luqman Afifi bin Sabri
Sarjana Muda Syariah, Universiti Yarmouk Jordan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts