Perpecahan semakin menular dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia, itulah hakikat pahit yang mesti ditelan dan dirawat secepat mungkin sebelum ianya bertambah parah. Melihat realiti yang sedang berlaku kepada umat Islam di Malaysia pada masa kini, pelbagai isu-isu yang timbul menyebabkan jurang perpecahan antara umat Islam semakin besar.
Keadaan semakin buruk apabila ditambah dengan permainan pihak musuh yang licik dan tidak pernah berhenti, mereka sangat gembira melakukan kerja-kerja melaga-lagakan umat Islam agar mereka terus berbalah dan bercakaran antara satu sama lain. Sungguh, umat Islam perlu segera sedar akan keutamaan menjaga kesatuan dan kesepakatan antara mereka agar kepentingan umat ini sentiasa terpelihara.
Ketahui dan percayalah bahawa tiada kekuatan yang yang dapat dicapai oleh umat Islam melainkan dengan kesatuan dan kesepakatan. Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran :
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾ [الأنفال[
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar,” (Al-Anfal: 46).
As-Syahid Syed Qutb telah menukilkan di dalam kitab beliau, Tafsir Fi Zilal Al-Quran berkenaan ayat ini bahawa sifat tidak berbantah-bantah dalam satu-satu perjuangan adalah salah satu faktor kemenangan yang hakiki. Daripada sini dapat kita fahami bahawa bersepakat atau bersatu dalam memperjuangkan satu-satu perkara merupakan salah satu syarat bagi mencapai kemenangan di dalam perjuangan tersebut.
Sekiranya berlaku perbantahan dan persengketaan di dalam barisan tentera umat Islam maka secara serta-merta kekuatan dan kekuasaan mereka akan mula goyah dan runtuh sedikit demi sedikit. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan dan tidak dirawat, dikhuatiri ianya akan membawa kepada kekalahan dan kehinaan ke atas seluruh umat Islam.
Kekuatan pertama: Kekuatan kesatuan
Selain itu, al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna telah berkata di dalam himpunan risalahnya :
“…والأخوة أخت الإيمان ، والتفرق أخو الكفر ، وأول القوة : قوة الوحدة ، ولا وحدة بغير حب , وأقل الحب: سلامة الصدر , وأعلاه : مرتبة الإيثار…”
“… Dan persaudaraan itu adalah saudara kepada iman, perpecahan pula adalah saudara kepada kufur. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan kesatuan dan tidak ada kesatuan tanpa cinta, Serendah-rendah cinta adalah berlapang dada dan yang tertinggi adalah martabat ithar…”
Al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna telah menyatakan secara jelas bahawa kekuatan umat Islam yang pertama sekali adalah kekuatan kesatuan atau kesepakatan. Kemudian beliau menyatakan pula bahawa tiada kesatuan tanpa cinta. Sangat benar apa yang dikatakan oleh beliau, lihat sahaja kepada lembaran sejarah silam.
Kita lihat semula peristiwa yang berlaku semasa peperangan Uhud, peperangan agung yang berlaku ketika bulan Syawal tahun ke-3 selepas Hijrah. Salah sebuah peperangan terpenting yang telah merakamkan pelbagai kisah dan peristiwa yang banyak mengajar umat ini erti sebenar pengorbanan dan cinta di dalam perjuangan.
Pasukan pemanah di medan Uhud
Di atas medan peperangan Uhud, Rasulullah SAW telah membentuk satu pasukan pemanah yang diposisikan di bukit Uhud. Mereka bertanggungjawab menjadi benteng pertahanan terpenting dalam barisan tentera Islam. Pasukan tersebut terdiri daripada lebih kurang 50 orang lelaki. Rasulullah telah mengeluarkan arahan kepada mereka agar tidak berganjak daripada bukit Uhud walau apapun yang terjadi, sama ada menang ataupun kalah.
Ternyata strategi peperangan Rasulullah SAW ini menampakkan hasil apabila ketumbukan tentera berkuda pihak musuh yang diketuai oleh Khalid al-Walid ketika itu menemui kegagalan apabila mahu menggempur barisan tentera Islam dari arah belakang. 3 kali percubaan dilakukan namun kesemuanya digagalkan dengan hujanan anak-anak panah yang datang menjunam dari bukit Uhud.
Cahaya kemenangan kelihatan semakin menyebelahi tentera Islam. Tentera musyrikin semakin kalut dan kacau, keyakinan dan keupayaan mereka sudah luntur dan hancur. Pedang-pedang tentera muslimin semakin galak menebas batang-batang tengkuk tentera kafir Quraish.
Majoriti tentera musuh sudah lari lintang-pukang meninggalkan senjata, perisai, dan haiwan tunggangan mereka di belakang. Mereka mahu selamatkan nyawa mereka. Tentera-tentera Islam yang berada di medan peperangan utama sudah ada yang mula mengutip dan menawan harta-harta rampasan perang dengan girang.
Melihat keadaan ini, sebahagian pasukan pemanah yang berada di atas bukit Uhud berasa geram dan cemburu melihat kawan-kawan mereka sedang mengutip harta-harta rampasan perang tinggalan tentera musyrikin. Perasaan tamak dan cintakan dunia mula menguasai dan membuak-buak dalam jiwa sanubari mereka. Syaitan laknat mula bertenggek dan membisikkan idea-idea jahat di telinga-telinga mereka.
Perpecahan yang pasti merosakkan
“Harta rampasan! Harta rampasan! Kawan-kawan kamu telah berjaya, apa yang kamu tunggu lagi!?”
Salah seorang daripada mereka menjerit. Mereka seolah-olah lupa dengan arahan ketua turus angkatan perang tentera Islam, Rasulullah SAW supaya tidak meninggalkan bukit Uhud walau apapun terjadi. Dalam pada itu, ketua pasukan pemanah, Abdullah Bin Jubair RA mengingatkan mereka supaya tidak turun meninggalkan bukit Uhud.
“Adakah kamu lupa akan apa yang Rasulullah SAW kata kepada kamu?”, ujar Abdullah Bin Jubair RA.
Namun usahanya ibarat mencurah air ke daun keladi, lebih 40 orang daripada pasukan pemanah itu tidak menghiraukan peringatan daripada Abdullah Bin Jubair RA, perasaan cinta mereka terhadap harta rampasan perang yang semakin membuak-buak itu mesti dilunaskan, mereka turun daripada bukit Uhud dan menyertai sahabat-sahabat yang lain mengutip harta rampasan perang.
“Demi Allah, kami pasti akan datang kepada sahabat-sahabat kami yang lain dan mengutip harta rampasan perang”, kata salah seorang daripada mereka.
Kini hanya tinggal Abdullah Bin Jubair RA dan sembilan atau kurang daripada sembilan orang yang masih kekal setia menunggu di atas Bukit Uhud. Mereka enggan mengingkari arahan Rasulullah SAW kepada mereka agar tidak turun meninggalkan kawasan tersebut walau apapun terjadi. Mereka masih setia menunggu arahan seterusnya daripada ketua turus angkatan perang tentera Islam.
Tanpa mereka sedari, benteng pertahanan barisan belakang tentera Islam yang sebelumnya kukuh sudah lompong dan kian runtuh. Tanpa mereka sedari, pasukan pemanah yang ditempatkan Rasulullah di atas bukit Uhud sudah berpecah kepada dua kumpulan kecil. Mereka sudah tidak bersatu, mereka sudah hilang kata sepakat, mereka sudah hilang kekuatan.
Melihat keadaan ini, Khalid al-Walid yang ketika itu merupakan antara panglima tentera kafir Quraish mula merangka strategi baru bagi mengawal arus permainan di atas medan peperangan Uhud. Beliau melihat perpecahan dan kelalaian tentera Islam khususnya pasukan pemanah yang sejak tadi menggagalkan siri-siri penggempurannya sebagai satu peluang keemasan bagi menghancurkan pertahanan tentera Islam.
Khalid al-Walid bersama pasukannya berpatah balik dari belakang bukit Uhud bagi menguasai barisan belakang tentera Islam. Kali ini tiada hujanan anak panah menghujam mereka dari atas bukit Uhud. Bahkan pasukan Khalid al-Walid berjaya membunuh ketua pasukan pemanah, Abdullah Bin Jubair RA dan anggota-anggota pasukan pemanah yang lain.
Arus permainan mula berubah. Tentera musyrikin mula mendominasi. Tentera musyrikin lain yang tadinya lari ketakutan mula berpatah balik ke medan peperangan bagi menggempur semula barisan hadapan tentera Islam. Tentera Islam sudah terkepung dan tersepit dari kedua-dua arah hadapan dan belakang!
Nah, lihatlah. Semuanya berpunca daripada perpecahan dan ketidaksepakatan yang berlaku dalam satu pasukan kecil sahaja daripada keseluruhan tentera Islam. Pasukan pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di atas bukit Uhud tersebut terdiri daripada hanya lebih kurang 50 orang, bilangan itu tidak sampai 10% daripada bilangan keseluruhan tentera Islam yang terdiri daripada lebih kurang 700 orang. Namun, kesan daripada perpecahan dan ketidaksepakatan tersebut amat besar sehingga mempengaruhi keseluruhan barisan tentera Islam ketika itu.
Sungguh, perpecahan dan perbalahan tidak akan menatijahkan apa-apa hasil melainkan kesan yang buruk dan merosakkan. Ketidaksepakatan hanya akan membuahkan kerugian dan kehilangan yang nyata. Apakah kita masih tidak mahu mengambil pengajaran?
Rusyaidi Pauzi
Tahun 4 Fakulti Usuluddin Jabatan Hadith
Universiti al-Azhar Kaherah, Mesir
www.indahnyaislam.my
Sahabat2 turun dari bukit kerana menyangka perang sudah tamat. Mereka kasihan melihat rakan2 yg tadi berperang terpaksa pula kumpul ghanimah…bukan utk berebut2 kerana ada kaedah pembahagian nanti… sering jadi keliru disini kerana menilai ikut kacamata material…sedangkan generasi didikan Rasulullah ini berbeza..jiilun quraan fariq.