JAKIM iktiraf pendakwah Orang Asli

PUTRAJAYA: Simposium Pendakwah dan Kepimpinan Orang Asli (PMOA) mengiktiraf pendakwah dan pemimpin Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang banyak membantu dalam pelaksanaan usaha dakwah di perkampungan Orang Asli.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu juga bertujuan mengiktiraf surau di perkampungan Orang Asli yang aktif dalam mengimarahkan tempat beribadah dan pusat aktiviti bagi komuniti setempat.

Beliau berkata, usaha dakwah bukanlah sesuatu yang mudah, malah pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh da’i dalam melaksanakan misi itu.

Katanya, cabaran ini bukan sahaja dari sudut keperluan material, malah kekuatan rohani dan jasmani juga sangat dititikberatkan untuk mendekati golongan yang unik dari segi budaya, adat resam serta mempunyai pelbagai suku keturunan,” katanya ketika merasmikan program di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan di sini, semalam.

Pada program ini, lima anugerah disampaikan iaitu Anugerah Masjid Surau Jumaat Kampung Orang Asli Terbaik, Anugerah Surau Kampung Orang Asli Terbaik, Anugerah Tokoh Kepimpinan Masyarakat Orang Asli, Anugerah PMOA Qudwah Peringkat Negeri dan Anugerah PMOA Qudwah Peringkat Kebangsaan.

Bagi menghargai sumbangan pemimpin masyarakat Orang Asli Islam serta mengiktiraf pengimarahan surau dan masjid di Kampung Orang Asli, penerima dianugerahkan sijil dan wang tunai.

Ahmad Marzuk berkata, pendakwah perlu menunjukkan teladan yang baik bagi membina hubungan seterusnya menyampaikan mesej Islam secara langsung mahupun tidak langsung.

Katanya, terdapat sebanyak 365 surau di kampung Orang Asli dan 34 daripadanya adalah masjid dan surau Jumaat.

“Ini membuktikan syiar Islam sudah tersebar luas ke pelusuk belantara dan penghayatan fardu ain juga semakin meningkat dalam kalangan Orang Asli yang sudah memeluk Islam.

“Turut membanggakan apabila ada dalam kalangan Orang Asli sendiri sudah mampu menjadi imam dan bilal di surau kampung masing-masing,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata, JAKIM juga sentiasa mengadakan latihan dan kursus imam dan bilal dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memantapkan bacaan dalam solat atau penyampaian khutbah Jumaat. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts