Umat Islam tidak patut sebar kebencian 

KUALA LUMPUR: Perbuatan menyebarkan kebencian terutama di kalangan umat Islam tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang memiliki rakyat daripada pelbagai kaum.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata agama Islam adalah satu misi yang mengajak kepada perpaduan dan persaudaraan sejagat merentasi sempadan kaum, agama dan budaya.

Oleh itu, katanya, Islam menentang setiap usaha yang boleh membawa kepada kebencian, perbalahan dan permusuhan, bukan sahaja antara sesama umat Islam malah juga antara sesama rakyat negara.

“Sebagai suatu misi kehidupan yang sempurna sememangnya agama Islam tidak boleh dipisahkan daripada politik.

“Sebab itu kita dapati banyak karya klasik mahu pun kontemporari yang mengupas kaedah pemerintahan di dalam Islam seperti karya dihasilkan oleh Al-Mawardi, Al-Ghazali, Ibnu Taimiah, Al-Maududi dan banyak lagi.

“Memang Islam boleh berperanan dalam membimbing kehidupan berpolitik yang positif ke arah pembangunan dan kemajuan negara untuk kebajikan dan kepentingan seluruh warganya.

“Namun masalah yang kerap dihadapi adalah Islam sering dijadikan bahan permainan politik kepartian oleh kalangan tertentu sehingga menimbulkan kebencian, permusuhan dan perbalahan antara sesama rakyat, malah antara sesama saudara seagama,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai sikap pihak pembangkang yang kini semakin banyak memainkan isu politik bersifat keagamaan dan perkauman.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, Islam sentiasa mengajak kepada persaudaraan dan berkasih sayang antara sesama umat Islam dan sesama rakyat yang berbeza kaum dan agama dan ia adakah intisari yang terkandung di dalam piagam negara Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah.

“Agama boleh digunakan dalam politik, tetapi untuk tujuan membina seperti usaha memberi keadilan dan kebajikan di dalam masyarakat serta menghormati Perlembagaan negara.

“Selain itu juga, untuk mengukuhkan lagi sistem demokrasi yang bukan sekadar mengundi di dalam pilihan raya, malah pada prinsip asasnya adalah pengiktirafan terhadap hak-hak setiap rakyat termausk golongan minoriti,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata seorang pemimpin beragama Islam perlu menjadikan Rasulullah sebagai contoh kepemimpinan.

Katanya, Rasulullah sebelum membentuk sebuah kerajaan selepas berhijrah dari Makkah ke Madinah, menyatukan umat Islam dengan membina masjid terlebih dulu sebagai tempat penyatuan umat.

“Apabila sudah ada masjid ia bukan sahaja boleh menjadi lokasi untuk mendekatkan diri kepada Allah untuk menjadi umat yang baik, tetapi juga turut dapat dijadikan tempat untuk umat bersatu.

“Apabila ummah baik, baru boleh membina sebuah kerajaan yang kukuh kerana jika kerajaan bermula dengan perpecahan, banyak orang juga akan bergaduh dan berpecah.

“Sama juga seperti berkempen pada pilihan raya, apabila berkempen untuk mengajak membina kerajaan, maklumkan matlamatnya dan jika pemimpin Islam, maklumkan juga tujuan memerintah itu bukan semata-mata untuk pembangunan atau kemajuan negara tetapi pada masa sama mahu menyedarkan orang supaya beriman kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, ia sama seperti yang dilakukan Rasulullah sebelum ini iaitu menjadikan sebuah rakyat di sebuah negara itu beriman kepada Allah.

“Ini adalah indeks petunjuk utama (KPI) sebagai pemimpin iaitu pastikan negara maju dan pada masa sama mengembangkan agama Islam sehingga orang faham dan tidak lagi berani menghina Islam,” katanya.

Justeru beliau berharap, pemimpin yang ada ketika ini turut sama memberi tumpuan kepada agama terutama menyebarkan kebenaran dalam Islam. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts