Adakah batalkan Grand Final Gala Night langgar hak asasi wanita?

 

UMAT Islam kini menghadapi cabaran serangan pemikiran dan pembudayaan modenisme Barat termasuklah gaya hidup hedonisme. Hedonisme ditakrifkan sebagai menormalisasikan keseronokan dalam kehidupan manusia. Ia juga diertikan sebagai kenikmatan dan kepuasan yang menjadi ukuran dalam tingkah laku. Budaya hedonisme melahirkan manusia yang keras hati, menolak kebenaran dan sentiasa berada dalam kesesatan. Kemewahan menjadikan hati manusia menjadi kasar, hilang kepekaan dan merosakkan fitrah manusia. Malah ia turut menyebabkan manusia bersikap sombong terhadap hidayah Allah.

Ini memberi kesan langsung terhadap penghakisan jati diri umat. Atas kerana kasihnya saya kepada wanita di luar sana, saya menyeru agar pertandingan Grand Final Gala Night 2020 dibatalkan. Penggunaan wanita sebagai daya tarik di dalam pertandingan ini menjatuhkan maruah wanita sebagai seorang yang bermartabat mulia. Wanita yang menyertai pertandingan ini ibarat barang dagangan kepada para penonton.

Pencabulan aurat dan pelecehan seksual berlaku kerana peserta perlu mendedahkan tubuh badan mereka. Pakaian merupakan suatu lambang ketamadunan. Tamadun manusia yang semakin maju turut memberi impak terhadap cara manusia berpakaian. Pensyariatan mengenakan pakaian telah dinyatakan dalam al-Quran dan al-hadis.

﴿يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا٥٩﴾

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab: 59).

Allah SWT memerintahkan wanita agar menutup aurat kerana dengan itu dapat menghindar daripada kemudaratan serta kejahatan lelaki fasiq dan munafik.

Batalkan Grand Final Gala Night 2020 

Terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa batasan kepada pemakaian dan pergaulan sosial wanita adalah melanggar hak asasi wanita kerana berlaku diskriminasi dan stereotaip gender kepada wanita. Ini adalah tuduhan yang sangat tidak berasas sama sekali.

Wanita dan lelaki adalah makhluk ciptaan Allah SWT, yang mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan kehidupan di dunia dan akhirat disebabkan keadaan biologi dan fisiologi penciptaannya. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا  وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ  وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ  وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ  وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ٣١﴾

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (Surah al-Nur (24): 31)

Menjaga pakaian dan pandangan adalah termasuk maruah yang perlu dipelihara dan diberi perhatian. Ini kerana kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah bagi Kemuliaan wanita. Hal ini terbukti apabila salah satu dalam aspek maqasid al-syari’ah adalah hifz al-‘irdh (memelihara maruah) sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Dalam perbincangan ulama, terdapat sarjana yang menambah daruriyyat keenam iaitu menjaga maruah.

Jelasnya, takrif hifz al-‘irdh dalam maqasid al-shari’ah adalah dengan mengekalkan kehormatan dan kemuliaan. Perbuatan mengeksploitasi wanita dalam pertandingan ini untuk kepentingan pihak tertentu merupakan salah satu bentuk penindasan terhadap wanita. Sedangkan Islam telah memuliakan wanita dengan memberi wanita hak dalam pelbagai perkara seperti hak untuk mewarisi, hak dalam kerjaya, hak mendapat pendidikan, hak dalam perkahwinan dan banyak lagi.

Wanita juga perlu menjauhi ikhtilat yang melampaui batas kerana ia boleh terjebak dalam pergaulan bebas dan perzinaan jika tidak dikawal. Islam merupakan agama yang sering mengingatkan umatnya agar menjaga hak-hak wanita dari teraniaya. Manusia tidak kira lelaki mahupun wanita diciptakan agar memiliki akal fikiran untuk menjalani kehidupan seharian agar dapat beribadah kepada Allah sepertimana Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Nisa’. Maksudnya,

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya- zuriatketurunan- lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silat’ur-rahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu”.

Allah SWT merakamkan dalam ayat di atas bahawa tiada perbezaan di antara lelaki dan wanita dalam penciptaan kedua-duanya. Apa yang berbeza adalah tanggungjawab, peranan dan hak masing-masing yang berlainan mengikut keperluan dalam kehidupan. Perbezaan ini tidak sekali-kali melebihkan mahupun menambah darjat seorang lelaki di samping merendahkan kedudukan seorang wanita. Kesetaraan lelaki dan wanita ini telah dijelaskan dalam al-Quran dan diperjelaskan melalui rangkaian hadis. Ketidakadilan berlaku terhadap wanita bukanlah bersumberkan Islam namun tradisi tempatan yang tidak Islamik.

Eksploitasi terhadap wanita yang berlaku pada zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam telah berulang kembali pada masa kini. Menjadi tugas yang penting untuk memperkasakan wanita agar kegemilangan Islam dapat diulangi di mana wanita menjadi contoh seperti para sahabiyat yang dianggap sebagai tulang belakang kejayaan perjuangan Islam suatu masa dahulu.- Ismaweb

Ustazah Nasyitah Farhanah Johari Faisal

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts