Tidak boleh tunai haji, umrah secara maya – Zulkifli

PUTRAJAYA: Inisiatif ‘Virtual Black Stone’ (Hajar al-Aswad Secara Maya) yang diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini membolehkan umat Islam menyentuh Hajar al-Aswad menerusi kemudahan teknologi realiti maya (VR).

Namun, ada yang berpandangan bahawa umat Islam tidak perlu lagi pergi umrah dan haji kerana Masjidil Haram boleh dikunjungi secara maya pada bila-bila masa sahaja dan boleh terus melakukan ibadah melalui VR tersebut. 

Bagi merungkai persoalan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri tampil dengan penjelasan terperinci yang dikongsi menerusi portalnya, Maktabah Al-Bakri semalam.

Jelas Zulkifli, ibadah haji dan umrah wajib dilakukan di tempat-tempat yang disyariatkan seperti di Masjidil Haram, tempat bersa’ie, Mina, Arafah, dan Muzdalifah.

Katanya, sekiranya ia hanya hadir secara maya, maka tidak sah ibadah haji dan umrahnya.

“Kami menyokong penuh inisiatif Arab Saudi yang memperkenalkan teknologi VR bagi membolehkan umat Islam di seluruh dunia merasai suasana berada di hadapan kaabah di dalam Masjidilharam.

“Hal ini kerana tidak semua orang mampu untuk merasai suasana di hadapan Kaabah secara nyata dan pada masa sama, orang ramai dapat memanfaatkan teknologi ini untuk belajar melakukan haji dan umrah secara VR. 

“Namun begitu, tidak wajar untuk sesetengah pihak menganggap bahawa dengan adanya VR di hadapan Kaabah, sudah cukup untuk tidak mengunjungi kaabah secara nyata dan boleh melakukan ibadah melaluinya, sedangkan hakikatnya dia berada di bilik rumahnya,” katanya. 

Katanya, baru-baru ini, Lembaga Pengarah Ehwal Keagamaan Turki (Diyanet) mengisytiharkan bahawa menziarahi kaabah melalui VR tidak akan dianggap sebagai menunaikan ‘haji yang sah’. 

Zulkifli berkata, Diyanet memuktamadkan keputusan itu pada 1 Februari lalu bahawa meskipun lawatan ke kaabah boleh dilakukan menerusi VR, ia tidak akan dikira sebagai mengerjakan ibadah haji yang sah.

“Hal ini kerana ibadah haji sepatutnya dan akan dikerjakan dengan menjejakkan kaki ke tanah suci,” katanya. 

Baru-baru ini, Presiden Pengurusan Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi, Syeikh Dr. Abdul Rahman Abd. al-Aziz al-Sudais merasmikan ‘Virtual Black Stone’ yang diperkenalkan Agensi Ehwal Pameran dan Muzium Arab Saudi dengan kerjasama Universiti Umm al Qura. 

Inisiatif ini bertujuan menggunakan VR dan pengalaman digital yang mensimulasikan realiti sebenar.

Abdul Rahman menegaskan bahawa Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi memiliki tapak keagamaan dan sejarah yang hebat, yang mesti didigitalkan dan disampaikan kepada semua manusia. -Utusan Malaysia

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts