Tragedi Sri Lanka jenayah di luar norma manusia: Mufti Wilayah

 

BANGI – Semua pihak digesa supaya tidak menunding jari dan menuduh secara melulu, sebelum pihak berkuasa Sri Lanka menangkap dalang yang bertanggungjawab dalam serangan pengeboman ke atas beberapa hotel dan gereja di negara itu, Ahad lalu.

Menzahirkan rasa sedih dan sebak terhadap siri letupan yang mengorbankan 290 nyawa itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, siapa pun yang terbabit di sebalik serangan keganasan itu, dia tetap telah melakukan tindakan yang zalim dan berdosa.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, semua pihak perlu terus mendoakan supaya pihak berkuasa Sri Lanka berjaya menangkap dalang yang bertanggungjawab, serta membawanya ke muka pengadilan.

“Kami tegaskan di sini bahawa kejadian serangan yang berlaku merupakan satu kemalangan, malapetaka dan jenayah kemanusiaan di luar norma manusia yang berakal dan mengikut fitrah manusiawi yang sebenar.

“Sifat kasih sayang dan menghormati sesama manusia telah hilang dari kamus kehidupan mereka dek kerana kerasnya hati (qasawatul qalb) sehingga tiada lagi insan yang ada sifat keinsanan (insaniyyatul insan), sedangkan tuntutan Islam yang sebenar adalah untuk menzahirkan sifat ihsan kepada seluruh khalayak masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyokong kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah itu.

“Kami juga turut menyokong sepenuhnya kenyataan rasmi Mufti Republik Mesir Prof Dr. Syauqi Ibrahim ‘Allam yang menyatakan bahawa perbuatan merosakkan rumah ibadat dan menumpahkan darah merupakan satu perbuatan yang dilarang oleh semua agama.

“… lantaran ia membawa kepada kebencian dan fitnah dalam masyarakat dan mampu menjerumuskan sesebuah negara ke dalam kancah perang saudara,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan itu, enam siri letupan bom menggegarkan hotel mewah dan gereja di Sri Lanka tatkala penganut Kristian menyambut Easter Sunday.

Siri serangan bom itu bermula di Gereja St Anthony di Colombo, disusuli lima letupan lagi dalam tempoh setengah jam hingga sejam, termasuk di Negombo, kira-kira 30 kilometer dari sini, dan Batticaloa (250 kilometer di timur Colombo).

Letupan ketujuh menggegarkan hotel berhampiran Zoo Negara, membunuh dua orang, sementara bom kelapan diletupkan di pinggir bandar di Orugodawatta, ketika anggota keselamatan memasuki seuah kediaman untuk menjalankan siasatan.

Sehingga semalam, angka kematian akibat insiden serangan itu mencecah 290 orang, selain lebih 500 yang lain dilaporkan cedera. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts