Patuh fatwa haram sambut Hari Kekasih

PUTRAJAYA: Masyarakat Islam di negara ini dinasihatkan agar jangan cuba mahu meraikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day kerana fatwa pengharamannya masih kekal.

Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata, umat Islam perlu berhenti terikut-ikut budaya bukan Islam.

“Walhal, perayaan itu tiada pun dalam ajaran Islam, malah paling ditakuti ada unsur agama lain yang boleh menjejaskan akidah,” katanya.

Beliau merujuk pendedahan pelbagai pihak yang membongkar 14 Februari diraikan Barat sebagai Hari Kekasih setiap tahun itu bersempena tarikh pengebumian Saint Valentine yang disemadikan pada 269 Masihi dianggap sebagai syahid penganut Kristian atas sifat kewalian dirinya menyebarkan agama tersebut.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2005 lalu memutuskan perayaan terbabit sebagai haram diraikan, bahkan ‘roh’ sambutan hari tersebut didapati terdapat unsur ajaran Kristian secara tersirat.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ajaran Islam mengutamakan kasih sayang setiap hari, meskipun tidak ada pula tarikh tertentu yang direka khusus bagi diraikan secara formal.

“Amalan perayaan ini lazim campur gaul bebas maksiat termasuk gejala zina pasangan remaja belum berkahwin termasuk berdua-duaan di tempat sunyi atau berkhalwat di hotel bajet sebelum mereka terjebak kancah melakukan persetubuhan haram kononnya atas nama cinta abadi,” katanya. 

Malahan ujarnya, berdasarkan pengalaman pihak jabatan agama Islam di negeri-negeri, ramai belia muslim meraikan Hari Kekasih dengan perbuatan haram ditegah ajaran Islam.

Bekas Ketua Hakim Syarie itu juga merujuk statistik pihak polis apabila banyak berlaku kes buang bayi akhir November setiap tahun susulan ramai gadis terlanjur hamil luar nikah.

Justeru, Mohamad berpendapat bahawa adalah lebih baik daripada awal lagi tidak terjerumus langsung dengan sebarang perbuatan yang ada elemen menyambut Valentine’s Day.

Pasangan kekasih Muslim jelas beliau, sepatutnya mengekang nafsu ketika tarikh itu dengan cara yang halal iaitu berjumpa keluarga untuk mengadakan pernikahan secara sah. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts