Akad jual beli dengan ulat tiket haram: Mufti Wilayah


KUALA LUMPUR: Tindakan ‘ulat’ menjual tiket pada harga lebih tinggi dan berlipat kali ganda adalah sikap tidak bermoral dan merangsang jenayah penipuan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata akad jual beli tiket berkenaan adalah haram kerana mengandungi unsur ghabn dan ihtikar.

“Istilah ‘ulat tiket’ boleh diterima sebagai terjemahan daripada perkataan ‘tout’ yang merujuk kepada penjual tiket secara haram. ‘Ulat tiket’ merujuk kepada golongan yang berniaga dengan cara membeli tiket pada harga asal di kaunter sah, terutama pada musim permintaan tinggi, seperti perlawanan akhir atau musim perayaan, kemudian menjual balik dengan harga yang lebih tinggi.

“Harga jual balik tiket itu boleh mencecah hingga lima kali ganda atau lebih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, pihaknya berpendapat fenomena ulat tiket itu berpunca daripada sikap suka monopoli dan tamak yang memberi kesan kepada masyarakat khususnya pembayar cukai yang tidak berpuas hati dan berasa tidak adil kerana terpaksa membayar lebih.

Justeru, katanya, tindakan itu adalah hampir dengan makna al-ghabn al-fahisy dan ihtikar yang diharamkan oleh ramai ulama.

“Dari sudut istilahnya, al-ghabn bermaksud kekurangan pada salah satu alat pembayaran akibat manipulasi yang mana kekurangan pada harga saat menjual dan membeli akibat manipulasi pihak tertentu.

“Kekurangan ini boleh dirasai oleh pihak pembeli dan penjual pada beberapa keadaan iaitu daripada sudut pembeli, kekurangan harga bermaksud harga dibayar tidak setara dan tidak sesuai dengan nilai barang diterima.

“Dari sudut penjual pula, harga yang diterima tidak sebanding dengan nilai barang yang sebenarnya,” katanya.

Menurutnya, walaupun pensyariatan khiyar al-ghabn menjadi khilaf dalam kalangan para ulama, Zulkifli berpendapat khiyar itu berlaku.

“Secara umum, seorang pembeli apabila hendak membeli (khususnya barang-barang yang bernilai tinggi) tidak akan sepakat dengan penjual kecuali jika dia merasa bahawa wang yang akan dibayarnya sesuai dengan nilai barang yang dibeli.

“Apabila dia merasakan tidak berbaloi wang yang dibayar dengan nilai barang, maka dia tidak akan melakukan urusan jual beli. Komitmen ini walaupun tidak dilafazkan dan tidak dijelaskan dalam jual beli, ia termasuk komitmen yang terzahir daripada banyak faktor.

“Bukti yang jelasnya adalah ada pilihan tawar menawar dan bertanya kepada beberapa tempat lain yang menjual barang itu,” katanya.

Beliau berkata, Islam melarang segala bentuk perkara yang merugikan orang lain seperti dalam sabda Rasulullah yang bermaksud tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Justeru, Zulkifli mencadangkan agar undang-undang berkaitan ulat tiket digubal supaya tidak berlaku manipulasi dalam masyarakat di negara ini seperti undang-undang yang diberikan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang memantau kegiatan ulat tiket bas ekspres.

“Kami juga menyeru kepada mangsa untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa dan polis sekiranya berdepan dengan kes ulat tiket, sama ada membabitkan perniagaan atas talian dan secara langsung.

“Ini bagi memberikan punca kuasa kepada badan terbabit untuk bertindak dan mengekang fenomena ini,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts