Individu Islam tidak boleh jadi pertikaian perkahwinan bukan Islam

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, memutuskan individu beragama Islam tidak boleh dinamakan sebagai pihak dalam pertikaian perkahwinan yang melibatkan pasangan suami isteri bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika menyampaikan keputusan majoriti panel tiga hakim berkata, Seksyen 3(3) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) dengan jelas memperuntukkan bahawa umat Islam dikecualikan daripada permohonan LRA.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun berkata, undang-undang itu terpakai terhadap mualaf Islam dalam kes melibatkan pasangan bukan Islamnya memfailkan petisyen selepas bekas pasangan memeluk Islam iaitu selepas perkahwinan sivil mereka.

Beliau berkata, tujuan LRA itu bukan sahaja untuk mengawal perkahwinan dan perceraian orang bukan Islam, malah ia juga sebagai pemisah undang-undang berasingan bagi orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Ini adalah berdasarkan Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan mengenai prinsip pemisahan bidang kuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Keputusan majoriti itu yang disokong Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, mahkamah menolak rayuan yang dikemukakan oleh seorang wanita yang identitinya tidak didedahkan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan yang turut sama bersidang, membuat penghakiman menentang.

Kes hari ini berkaitan rayuan oleh seorang wanita berhubung permohonan undang-undangnya untuk memasukkan seorang wanita sebagai responden bersama dalam petisyen perceraian yang difailkan pada Julai tahun lepas di Mahkamah Tinggi terhadap suaminya, mendakwa perkahwinannya musnah selepas suaminya membuat hubungan sulit dengan wanita Islam itu.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa individu Islam boleh dinamakan sebagai responden bersama dalam petisyen perceraian dan bukannya dalam perpisahan kehakiman dan oleh itu mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengecam responden bersama bagi ganti rugi di bawah Seksyen 58 LRA. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts