Penghijrahan penuh liku

Kuala Lumpur: Fasa awal penghijrahan Muhammad Rayyan Sim Abdullah sembilan tahun lalu agak berliku kerana tidak mendapat restu kedua ibu bapanya.

Pemuda mesra disapa Rayyan, 35, mengakui apa yang berlaku berpunca daripada kesilapannya kerana tidak berterus terang sejak awal mengenai hasratnya untuk memeluk Islam.

Bagaimanapun, berkat doa dan usaha, Rayyan yang menetap di Shah Alam, Selangor dapat memujuk kedua ibu bapanya hingga mereka lembut hati untuk menerima keputusannya.

Mengimbas semula detik awalnya bergelar mualaf, Rayyan berkata bapanya, Sim Kim Boon, 62, adalah individu yang paling sedih dan kecewa selepas dapat tahu dia sudah memeluk Islam.

“Sejujurnya, emak (Khoo Hui Peng, 55) dan ayah tak tahu daripada mulut saya sendiri (mengenai penghijrahan) tetapi adik yang beritahu mereka.

“Sejam selepas memeluk Islam, ayah telefon dan luahkan dia tidak dapat terima tindakan saya yang dianggap memalukan keluarga dan persoalkan kenapa buat begitu (peluk Islam) serta tanya apa silapnya.

“Ketika itu, saya berasa bersalah sangat kerana tidak berterus terang daripada awal dan bertambah sedih apabila ayah masuk hospital tidak lama selepas itu.

“Emak juga tak suka keputusan saya pada awalnya namun dapat terima sebulan kemudian cuma ayah agak lama iaitu dua tahun. Mereka berdua bagaimanapun merahsiakan hal itu daripada pengetahuan keluarga dan saudara-mara kami pada awalnya mungkin kerana malu untuk bercerita,” katanya ketika ditemui di Lobi Balai Berita News Straits Times Press (NSTP), di sini.

Rayyan berkata, bukan niatnya untuk membelakangkan keluarga namun dia bimbang jika keputusannya dibangkang dan tidak mendapat restu mereka.

Bagaimanapun, dia percaya ibu dan bapanya sudah dapat menduga keputusannya memeluk Islam kerana melihat gaya hidupnya cenderung kepada ajaran Islam malah tidak makan daging khinzir empat tahun sebelum memeluk Islam.

“Pada waktu itu, saya takut berterus terang kerana jika mereka menentang, proses penghijrahan itu akan jadi lambat sedangkan hati saya sudah tekad memeluk Islam.

“Disebabkan itu, saya peluk Islam dahulu dan bersyukur kerana akhirnya dapat restu malah apa yang membuatkan saya terharu apabila ayah pinjamkan wang ketika saya hilang pekerjaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Itu bukti hubungan kami sebagai bapa dan anak tidak terputus walaupun sudah berlainan agama,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penghijrahannya, Rayyan berkata, dia mengambil masa lapan tahun untuk mengkaji dan belajar mengenai ajaran Islam sebelum ambil keputusan berhijrah.

Katanya, peluang tinggal serumah dengan abang angkatnya, Mahmood Awang, 52, dulu juga menjadi titik permulaannya belajar mengenai solat dan gaya hidup sebagai Muslim.

“Ikutkan, saya sudah lama tertarik dengan Islam tetapi status sebagai anak sulung menyebabkan saya mempertimbangkan banyak perkara sebelum membuat keputusan.

“Jadi, saya ambil masa belajar daripada abang angkat selama setahun tinggal dengannya dan lihat bagaimana dia berdepan ujian sebagai Muslim.

“Kebetulan, saya ada ramai rakan Melayu jadi banyak juga belajar dan rujuk dengan mereka sehingga diberi hidayah untuk memeluk Islam pada 8 Mac 2013 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) Shah Alam,” katanya.

Rayyan tidak menyangka perkongsiannya di TikTok mendapat perhatian ramai kerana sekadar berkongsi kisah dan perjalanan sebagai mualaf bagi menjawab pertanyaan pengikut.

“Bukan niat saya cerita kisah itu namun ramai bertanya jadi mengapa tidak saya kongsikannya.

“Mana tahu kisah itu beri inspirasi selain membantu mereka yang ada keinginan memeluk Islam dan setakat ini, lebih ramai mendoakan berbanding kecaman.

“Saya juga dapat lebih ramai rakan Melayu sejak memeluk Islam dan semakin seronok menjadi Muslim terutama apabila dapat menunaikan solat fardu selain yang sunat iaitu Dhuha dan tahajud.

“Banyak juga rezeki tidak diduga yang saya peroleh antaranya kesempatan singgah ke Masjidil Haram di Makkah ketika ada tugasan di Arab Saudi dan tawaran bekerja di syarikat berpangkalan luar negara tahun ini selepas dua tahun berdepan kesulitan akibat pandemik,” katanya yang berdoa supaya dirinya kekal istiqamah. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts