Raja Muda Perlis kecewa Islam ditonjol secara negatif

 

DHAKA – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyatakan rasa kecewa kerana ada pihak yang menonjolkan Islam secara negatif sehingga menjadi bahan sendaan.

Baginda turut melahirkan rasa bimbang apabila segelintir masyarakat mengambil mudah untuk mendapatkan kesahihan sesuatu isu berkaitan Islam tanpa merujuk kepada sumber yang sah.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah bahawa Islam merupakan agama yang cintakan keharmonian ketika menyampaikan syarahan umum kepada pegawai dan pelajar Daffodil International University.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin juga mahu umat Islam menjunjung prinsip kesederhanaan dalam menangani isu Islamofobia.

Titah baginda, Islam mementingkan aspek kesederhanaan yang menjadi teras dakam kehidupan umatnya.

“Islamofobia mesti ditangani dengan lebih berkesan melalui sikap wasatiah yang menjunjung prinsip kesederhanaan,” titah baginda di hadapan kira-kira 150 masyarakat Malaysia di Bangladesh pada Isnin malam.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu berada di Bangladesh sejak Ahad lepas bagi mengetuai misi kemanusiaan membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelarian.

Terdahulu baginda bersama delegasi meninjau kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar serta menyampaikan bantuan kepada mereka.

Titah baginda, MAIPs sedang mengambil pendekatan mengajak umat Islam di luar negara sentiasa bersikap sederhana melalui program Liqa Mawaddah bersama masyarakat Malaysia di luar negara.

Antara pengisian program ialah tazkirah khas oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk ‘Wasatiah: Bagaimana Islam mendisiplinkn penganutnya dengan peraturan”.

Bersempena program itu Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan sumbangan MAIPs untukTabung Ibnu Sabil berjumlah RM5,000 kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh melalui Setiausaha Pertama, Idham Zuhri Mohd Yunus.

Tabung itu bertujuan membantu rakyat Malaysia yang menghadapi kecemasan termasuk kes terkandas di Bangladesh.

Selain di Bangladesh, program sedemikian juga pernah dianjurkan oleh MAIPs di London, Riyadh, Jeddah, Kuwait, Muscat, Doha dan Dubai.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Daffodil International University Bangladesh, Sabur Khan. – Bernama

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts