Jual makanan dengan penuh keredaan, ikhlas ikut konsep Islam sebenar

NILAI: Peniaga bazar Ramadan dinasihatkan supaya menjual makanan daripada hasil yang terbaik dan menghindarkan daripada menyediakan makanan sambil lewa.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jual beli yang tiada keredaan daripada mana-mana pihak adalah jauh daripada konsep Islam sebenar.

Jelas beliau, isu tidak sedap adalah subjektif dengan mengambil kira perbezaan selera setiap individu, namun sepatutnya disediakan dengan penuh keikhlasan.

“Masalah makanan basi, tak masak dan buat lebih kurang ini patut dihindarkan. Ada satu hadis mengatakan Rasullah bersabda, Allah sangat suka kalau peniaga menjual dalam keadaan penuh tolenrasi dan kasih sayang.

“Apabila jual beli dibina atas dasar reda tiba-tiba tiada keredaan, rasa tak puas hati. Ini tak mesra dan jauh daripada konsep sebenar Islam,” katanya ketika ditemui.

Zulkifli terdahulu hadir meraikan 80 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai anjuran Gyro Gastro Sdn Bhd, petang semalam.

Dengan memetik surah al-Mutaffifin ayat satu hingga lima, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, ayat itu mengajar supaya berbuat baik kepada orang lain.

“Ayat ini nak beritahu kepada kita bahawa mereka (orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan) dalam bab jual beli, mereka buat lebih kurang, barang timbangan tak cukup.

“Adakah mereka ini tak sangka mereka akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak (hidup semula sesudah mati)?” katanya.

Justeru, beliau berpesan kepada peniaga supaya menyediakan makanan yang terbaik.

“Kita tengok Rasulullah sebagai seorang peniaga yang berjaya, sahabat berjaya. Bagaimana dia interaksi dengan pelanggan dengan cukup baik.

“Mudah- mudahan kita juga boleh buat seperti itu. Pastikan makanan masak, elok, tak basi dan kalau boleh sedap itu satu ‘mileage’ yang besar,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts