Rasuah adalah jenayah kolar putih yang memberi kesan buruk terhadap pembangunan ekonomi, kestabilan politik dan struktur sosial negara. Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 oleh Transparency International, Malaysia kekal di kedudukan ke-57 daripada 180 negara dengan skor 50 mata – masih jauh dari sasaran 25 teratas menjelang 2033. Lebih membimbangkan, kerugian akibat rasuah dianggarkan mencecah RM1.8 trilion, merugikan rakyat secara besar-besaran.
Dari sudut bahasa dan undang-undang, rasuah melibatkan unsur penipuan, pencabulan amanah dan penyalahgunaan kuasa demi kepentingan peribadi. Islam secara tegas mengharamkan rasuah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 188 melarang pemberian kepada hakim untuk mengambil hak orang lain. Rasulullah SAW juga melaknat pemberi dan penerima rasuah (Riwayat al-Tirmizi).
Dalam usul fiqh, hukum rasuah diklasifikasikan sebagai dosa besar. Kaedah fiqh turut menyebut, “Apa yang haram diambil, haram juga diberi.” Walaupun ada pengecualian dalam keadaan terpaksa, hukum asasnya tetap haram.
Namun begitu, penghayatan terhadap pengharaman rasuah masih lemah dalam masyarakat berbanding perkara seperti arak atau khinzir. Justeru, budaya benci rasuah perlu diterap sejak kecil – bermula di rumah, diperkuat di sekolah, hingga ke alam pekerjaan. Pendidikan nilai anti-rasuah mesti menyeluruh dan konsisten.
Teks khutbah Jumaat juga wajar dimanfaatkan sebagai medium dakwah untuk membina kesedaran dan membendung gejala rasuah di kalangan umat Islam. Ini kerana ia ruang terbaik menyampaikan mesej kepada seluruh masyarakat secara langsung.
Kesimpulannya, rasuah adalah penyakit sosial yang menggugat masa depan negara. Ia berpunca daripada kelemahan integriti dan sistem yang tidak telus. Hanya melalui pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan reformasi institusi, kita dapat membina sebuah negara yang bersih dan berintegriti.