BANGI, 6 JAMADILAKHIR – Rasulullah sangat membenci rasuah serta semua pihak yang terlibat dalam amalan tersebut, kata Ahli Majlis Ulama ISMA, Dr. Ahmad Sanusi Azmi.
Menurut beliau, kebencian itu meliputi pemberi rasuah, penerima rasuah dan mana-mana individu yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa kecaman keras terhadap golongan ini dapat dilihat dalam hadis yang menyebut laknat kepada mereka.
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan ejen rasuah, iaitu mereka yang menjadi pengantara antara pemberi dan penerima,” katanya merujuk hadis riwayat Abu Daud.
Dr. Ahmad Sanusi menegaskan bahawa penggunaan istilah ‘laknat’ dalam hadis tersebut menunjukkan bahawa rasuah merupakan perbuatan yang amat keji sehingga pelakunya dilaknati oleh Allah dan Rasul.
Beliau turut menambah bahawa hadis itu bukan sahaja ditujukan kepada pemberi dan penerima, tetapi juga orang tengah yang menjadi kepercayaan dalam menguruskan urusan rasuah.
“Ini kerana merekalah yang menjadi punca berlakunya transaksi tersebut,” ujarnya.
Dalam ulasan lanjut, beliau menekankan bahawa golongan seperti ini tidak sewajarnya diangkat sebagai pemimpin.
Menurutnya, al-Imam al-Sani’ani dan al-Zahabi mengklasifikasikan perasuah sebagai pelaku dosa besar, manakala al-Imam Qurtubi menyatakan bahawa penerima rasuah tergolong sebagai orang fasiq.
“Secara umum, seseorang yang melakukan dosa besar dan digelar fasiq tidak layak dilantik sebagai pemimpin.
“Ini kerana syarat asas bagi seorang pemimpin Muslim ialah bersifat adil dan amanah.
“Pelaku rasuah tidak memiliki dua sifat ini,” katanya.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








