Salah Ke Kalau Cuma Chat Mesra Dengan Dia?

Zina bukan hanya berlaku secara fizikal, tapi ia bermula dengan perkara kecil yang dianggap biasa. Sebab itu, Allah SWT memberi amaran dalam al-Quran:
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya ia perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’: 32)

Apa maksud “jangan mendekati”? Ia bermaksud kita wajib elakkan semua perkara yang boleh membawa ke arah zina — sama ada melalui mata, telinga, tangan, atau hati.

Apa Yang Kita Perlu Jaga?

Islam mendidik setiap remaja yang telah baligh supaya menundukkan pandangan, menjaga pergaulan, dan berpakaian sopan. Dalam Surah an-Nur ayat 30-31, Allah perintahkan orang beriman menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Rasulullah SAW juga bersabda:
“Apabila seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita, maka syaitan akan menjadi yang ketiga.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Hadis Nabi SAW (riwayat al-Bukhari & Muslim):

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kepada anak Adam bahagiannya daripada zina, ia pasti akan terjadi. Zina mata ialah memandang, zina lidah ialah berbicara, zina telinga ialah mendengar, zina tangan ialah menyentuh, zina kaki ialah melangkah (menuju tempat maksiat), dan hati ingin dan berangan-angan, dan kemaluan pula membenarkan atau mendustakannya.”

  1. Zina Mata
    • Melihat perkara yang haram, seperti aurat lawan jantina, gambar lucah, atau pandangan bernafsu.
    • 📌 Contoh: Melihat lama-lama gambar perempuan/lelaki di media sosial dengan niat syahwat.
  2. Zina Telinga
    • Mendengar suara yang menggoda, lagu berunsur lucah, perbualan mesra yang membangkitkan nafsu.
    • 📌 Contoh: Dengar voice note atau panggilan dengan nada manja dari bukan mahram.
  3. Zina Lidah
    • Bercakap perkara yang tidak syarie dengan lawan jantina — seperti gurau manja, puji fizikal untuk mendapatkan perhatian, atau berunsur lucah.
    • 📌 Contoh: “Awak comel la hari ni…” walaupun niat sekadar suka-suka.
  4. Zina Tangan
    • Menyentuh dengan sengaja, berpegangan tangan, menepuk tampar, atau DM dengan niat tidak bersih.
    • 📌 Contoh: Komen atau react 💕 gambar dengan niat mengurat.
  5. Zina Kaki
    • Melangkah ke tempat yang mendekatkan maksiat — dating, bilik gelap, tempat sunyi.
    • 📌 Contoh: Ajak keluar berdua ke tempat private “sekadar minum”.
  6. Zina Hati
    • Berangan, berimaginasi, menyimpan perasaan ghairah terhadap orang bukan halal.
    • 📌 Contoh: Berangan seperti berpegangan tangan, berpelukan atau lebih jauh – walaupun hanya dalam fikiran.
      Contoh: Bayangkan adegan drama romantik antara diri sendiri dengan si dia.
    • “Kawan aku selalu keluar dating, aku pun nak rasa macam tu…”
  7. Zina Kemaluan
    • Hubungan fizikal sebenar antara lelaki dan perempuan bukan mahram (zina besar). Ini adalah kemuncak segala zina yang membawa dosa besar.
    • 📌 Contoh: Melakukan hubungan suami isteri sebelum nikah.

      Apa Yang Kita Perlu Buat Bagi Mengelakkan Zina Berlaku?

      1. Jaga pandangan dan jangan mudah klik pada gambar/video yang mendedahkan aurat.
      2. Hadkan chatting dengan bukan mahram. Gunakan bahasa sopan, tidak berlebihan.
      3. Berpakaian sopan, menutup aurat, tidak ketat atau menarik perhatian.
      4. Elakkan dating, berdua-duaan atau keluar tanpa keperluan penting.
      5. Isi masa dengan aktiviti bermanfaat, bersama sahabat yang menjaga agama.
      6. Perbanyak doa dan solat, kerana solat menjaga kita dari maksiat.
      7. Rapat dengan ibu bapa dan guru, mereka boleh bantu dan nasihatkan dengan kasih.

      Apa Akibatnya Zina?

      Zina merosakkan kehormatan diri — maruah sebagai seorang Muslim tercalar.
      Wanita atau lelaki yang menjaga diri sangat tinggi nilainya di sisi Allah dan manusia. Sekali maruah tercemar, sukar dikembalikan sepenuhnya.

      Zina boleh menyebabkan kehamilan luar nikah. Ini memberi beban besar kepada dua pihak yang masih belum bersedia.

      Hubungan tanpa ikatan sah boleh menyebarkan penyakit seperti HIV, sifilis, gonorea dan pelbagai lagi. Zina bukan hanya dosa, tetapi mendedahkan diri kepada penyakit yang memudaratkan.

      Zina boleh memusnahkan hubungan kekeluargaan, menjadi punca penceraian, dan menjejaskan kepercayaan kepada individu terutama dalam hubungan suami isteri.

      Namun, taubat masih terbuka. Sesiapa yang pernah terlanjur, masih boleh kembali kepada Allah.

      “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat.”
      (Surah al-Baqarah: 222)

        Rasulullah SAW bersabda tentang 7 golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat, antaranya:

        “Lelaki (atau wanita) yang diajak melakukan zina oleh orang yang cantik dan berpengaruh, namun dia berkata: ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’”
        (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

        -Indahnya Islam

        Total
        0
        Shares
        Leave a Reply

        Your email address will not be published. Required fields are marked *



        Sumbangan
        Related Posts