BANGI, 25 Rejab – Gabungan Nasionalis menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang mencetuskan kontroversi dengan menyamakan keadaan masyarakat Cina di negara ini dengan penderitaan rakyat Palestin.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya, berkata permohonan maaf sering kali dikemukakan setiap kali isu sensitif dibangkitkan, namun perkara itu dianggap sudah menjadi kebiasaan.
“Katanya sudah ada permohonan maaf, tetapi itu perkara biasa yang kita dengar. Pada pandangan saya, lebih baik ada tindakan diambil supaya ia menjadi pengajaran kepada pihak lain.
“Isu ini sangat serius dan tidak sepatutnya dibangkitkan,” katanya ketika mengulas tindakan seorang wartawan portal Free Malaysia Today (FMT) yang mengemukakan soalan kontroversi semasa syarahan umum bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Januari lalu.
Aminuddin berkata beliau terkejut selepas menonton video yang memaparkan wartawan berkenaan mengajukan soalan tersebut, namun bersyukur kerana dakwaan itu segera disangkal oleh ahli politik veteran Britain, George Galloway, yang menjadi penceramah.
Dalam video itu, Galloway menegaskan bahawa rakyat Palestin merupakan antara golongan paling tertindas di dunia dan keadaan di Malaysia sama sekali tidak boleh disamakan dengan realiti pahit yang dihadapi rakyat Palestin di bawah pendudukan Israel.
Sementara itu, Aminuddin turut berkata: “Saya sangkakan apabila sudah ada kerajaan, isu diskriminasi dan penindasan terhadap orang Cina tidak lagi timbul. Namun, rupanya masih ada.
“Masih wujud pihak yang merasakan orang Cina ditindas, dan lebih membimbangkan apabila keadaan mereka disamakan pula dengan penderitaan rakyat Palestin.”
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








