Oleh Malak Ridwan

Bayangan kebuluran kini menyelubungi Gaza, menyelinap di celah jalan-jalan yang hancur seperti pencuri di malam hari — mencuri nafas anak-anak, tenaga para ibu, dan maruah para bapa. Ia bukan kematian yang tiba-tiba seperti letupan bom, tetapi kematian secara perlahan yang kejam — datang dalam bentuk perut kosong yang pedih, mata sayu orang yang sudah berhari-hari tak menjamah roti.
Ini bukan kali pertama Gaza mengalami kebuluran. Pada Januari 2024, penduduk di utara sudah pun menderita kelaparan yang tidak kurang dahsyatnya. Ketika itu — seperti sekarang — tepung, gula, dan kacang dal yang suatu ketika dahulu dianggap makanan biasa, menjadi barang paling berharga. Keluarga terpaksa catu beras seperti menyimpan emas, mencuba sebaik mungkin untuk panjangkan bekalan demi anak-anak mereka. Malah, ubat-ubatan pun jadi benda sangat berharga. Ayah saya sendiri yang menghidap diabetes, terpaksa berjimat ubat, menggenggam pil yang semakin habis sambil menghitung setiap satu dengan penuh kerisauan.
Dan kini, kebuluran datang semula — lebih parah, lebih kelam. Pasar-pasar kini kosong dan sunyi. Jika ada yang berjaya mendapatkan sebungkus tepung, mereka akan sembunyikannya seperti rahsia besar, dan hasilnya cuma roti kasar yang terasa seperti debu dan tiada rasa. Kanak-kanak sudah tidak menangis meminta gula-gula — mereka pun sudah lupa bagaimana rasanya. Yang ada cuma esakan perlahan, dengan perut yang kembung kerana lapar dan tulang-belulang yang jelas kelihatan di sebalik kulit yang makin menipis.
Tetapi dunia masih diam. Lori bantuan masih disekat. Bantuan tergendala. Sempadan terus ditutup dan disekat rapat. Gaza sedang kebuluran di depan mata seluruh dunia, sementara kuasa-kuasa besar terus berbincang tentang “angka penderitaan” — berapa kalori cukup untuk hidup? Berapa gram nasi layak dipanggil makanan?
Tetapi kebuluran bukan sekadar angka statistik. Ia adalah seorang bapa yang membahagikan roti terakhir kepada anak-anak dan berpura-pura dia tidak lapar. Ia juga seorang ibu yang menjerang air dengan sedikit garam dan memanggilnya sebagai sup. Ia adalah ayah saya yang sakit, menghitung pil yang tinggal sambil berdoa agar ubat itu cukup untuk bertahan sepanjang sekatan ini.
Gaza sudah lama kenal apa itu kelaparan. Terlalu kenal. Tapi persoalannya — berapa kali satu bangsa harus kebuluran, sebelum dunia mula ingat mereka juga manusia?
Sumber : Quds News Network