home Semasa Sejarah penulisan al-Quran

Sejarah penulisan al-Quran

 

SETIAP kali saya mengajar anak-anak mengaji pasti akan timbul soalan-soalan cepumas mengenai huruf-huruf dalam al-Quran.
Soalan mengapa dan kenapa ia berbentuk begitu dan begitu sering menerjah telinga saya dan adakalanya sukar untuk diterangkan dalam versi kanak-kanak. Namun si anak tidak putus asa tetap bertanya walaupun soalan yang sama.

Al-quran telah mula ditulis sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Ayat-ayat al-Quran hanya ditulis dan disusun mengikut surah-surahnya mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya secara tawfiqi (توفيقي) . Dalam sebuah hadis Riwayat Uthman bin Affan r.a ada menyebut:

فَكَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَيهِ الشَّيءُ دَعَا بَعْضَ مَن كَانَ يَكْتُبُ فَيَقُولُواْ ضَعُواْ هَؤُلَاءِ الْآيَاتِ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا, وَإِذَا نَزَلَتْ عَلَيهِ الْآيَةَ فَيَقُولُ ضَعُواْ هَذِهِ الْآيَةَ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا

Maksudnya : “Ketika mana diturunkan kepada Baginda sesuatu ayat, Baginda akan menyeru sebahagian penulis(wahyu) lalu bersabda : ‘Letakkan ayat-ayat ini dalam surah yang ada menyebut tentang perkara sekian dan sekian’. Dan apabila diturunkan satu ayat, Baginda akan mengatakan : ’Letakkan ayat tersebut dalam surah yang menyebut tentang perkara sekian dan sekian’.” (At-Tirmizi)

Beberapa orang sahabat dilantik untuk menulis al-Quran antaranya Muaz bin Jabal, Zaid bin Tsabit, Ubai bin Ka’ab, Uthman bin Affan, Muawiyyah bin Abu Suffian, Abdullah bin Saad r.a.hum dan ramai lagi. Rasulullah s.a.w memberi perhatian utama dalam pengumpulan al-Quran dengan cara menghafaz selain daripada penulisan.

Pada zaman Saidina Abu Bakar r.a, beliau memanggil Zaid bin Tsabit r.a untuk mengetuai penulisan Mushaf ekoran daripada kebimbangan Saidina Abu Bakar r.a akan hilangnya al-Quran daripada ummat Islam akibat gugurnya ramai penghafaz sekitar tujuh puluh orang dalam Peperangan Al-Yamamah. Lalu berlakulah sesi pengumpulan al-Quran daripada pelepah-pelepah kurma, kulit-kulit binatang, tulang-tulang, batu-batu dan sebagainya serta daripada Sahabat-sahabat yang hafaz al-Quran.

Mushaf yang berjaya dikumpulkan disusun dengan cara paling sistematik, pengumpulan yang ketat dan disemak oleh mereka yang layak. Saidina Abu Bakar r.a sangat menjaga keaslian al-quran sehingga kita dapat merasakan keaslian itu pada hari ini. Usaha beliau disambung oleh Khalifah yang kedua, Saidina Umar Al-Khattab r.a dalam menjurus kepada satu naskhah sahaja yang disebut suhuf(صحوف). Kemudian diwariskan kepada anak beliau Hafsah binti Umar r.a.ha. Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab r.a tidak timbulnya masalah tentang al-Quran kerana tiada perselisihan dikalangan para Sahabat ketika itu.

Peringkat awal penulisan al-Quran belum diberi tanda-tanda perbezaan huruf seperti titik dan baris. Islam semakin berkembang semasa zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan r.a. Oleh sebab inilah timbulnya pelbagai masalah dari segi pembacaan dan pemahaman al-quran kerana penganutnya terdiri dari kalangan Arab dan bukan Arab. Khalifah Uthman r.a membuat penambahbaikkan dalam tulisan untuk memudahkan orang yang bukan Arab membaca, menghafaz serta mendalami al-Quran dengan baik.

Penambah baikkan ini dilakukan secara berperingkat. Mulanya hanya diletakkan titik pada huruf-huruf untuk menggantikan tanda bacaan yang kita sebut sebagai baris atas(فتحة), baris bawah(كسرة) dan baris hadapan(ضمة). Tanda bacaan ini dibuat oleh Abu Al-Aswad Ad-Du’ali.

Seterusnya Yahya bin Ya’mur dan Nasr bin ‘Asim menukar tanda baris huruf-huruf kepada tanda sempang atau garisan dan menambah dua garisan pada tanwin.

Kemudian, Khalil bin Ahmad Al-Farahidi membuat perubahan penyempurnaan dengan meletakkan tanda sabdu(تشديد) dan hamzah(ء).

Antara usaha-usaha lain dalam penyempurnaan ini ialah : Alif Wasal (huruf Alif ٱ tidak dibaca apabila bacaan tersebut dirangkaikan, tetapi apabila dijumpai pada pangkal kata maka alif wasal lebih sering dibaca sebagai fonem ‘i’), Waw kecil(ُ) pada baris hadapan, Alif kecil(ٰ), kepala Ha untuk sukun(ْ), tanda berhenti atau sambung pada bacaan dan banyak lagi. Nama-nama surah dan ayat-ayat juga diletakkan untuk kemudahan pembaca. Ulama juga membuat tanda untuk setiap Juzuk, Hizb dan Maqra’ dalam al-quran.

Berkat kesungguhan para Ulama terdahulu maka lahirlah Resam Uthmani yang digunapakai sehingga ke hari ini. Uthmani adalah sempena nama Khalifah Uthman bin Affan kerana susunan penulisan yang teratur berlaku pada zaman beliau.

Al-quran merupakan kitab terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ayatnya dan susunannya tidak akan berubah walaupun banyak usaha-usaha pengubahan dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Usaha yang mereka lakukan pasti akan gagal kerana Allah yang memelihara kesucian Al-Quran sejak azali lagi. Firman-Nya:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Az-Zikr(Al-Quran) dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya”. (Surah Al-Hijr, ayat 9)

Orang yang membaca, belajar, beramal dengan Al-Quran akan mendapat syafaat di akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w :

اقْرَؤُواْ الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

“Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan hadir pada hari kiamat sebagai syafaat kepada ahlinya (orang yang membaca, yang belajar dan beramal dengannya)”. (Muslim)

Justeru menjadi tanggungjawab kita sebagai muslim sentiasa sematkan al-Quran dalam diri sebagai tanda kita kecintaan kita kepada Islam yang indah. Kita juga hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah. Rebutlah peluang dalam Ramadhan kali ini dengan membacanya sebanyak mungkin. Tidak tahu, maka belajarlah. Tiada lagi rasa malu untuk belajar membaca Al-quran di zaman ini kerana perkara itu sudah menjadi kelaziman masyarakat setempat.

Dewi Farah Ruhaida Kamarudin
Ketua Wanita ISMA, Nilai

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *