Sulawesi menangis

Tragedi bencana alam yang berlaku di Sulawesi memberi kesan kepada ratusan ribu penduduk Sulawesi Tengah (Sulteng).

Selain daripada lebih 77,000 orang yang kehilangan rumah, lebih daripada 2,000 mayat mangsa telah ditemui. Manakala lebih daripada 5,000 orang yang lain masih belum diketahui status mereka.

Petobo adalah salah satu kawasan perumahan yang paling teruk dilanda bencana ini.

Meskipun ombak tsunami tidak sampai ke Petobo yang terletak jauh daripada pantai (lebih 5 km), bencana yang berlaku di Petobo begitu sukar untuk dibayangkan melalui logik akal seorang manusia biasa.

Ia bermula dengan gempa bumi di kawasan yang panjangnya kira-kira 2.5 km yang menenggelamkan semua rumah-rumah di sini dan kemudiannya dikambus oleh aliran lumpur dan pergerakan tanah dari kawasan bukit.

Saksi yang terselamat menceritakan bagaimana rumah-rumah ini berpusing dan dilambung beberapa kali sebelum ditelan oleh perut bumi.

Itulah ketentuan Pencipta dan Pemilik sekalian alam yang bersamanya hadir pelbagai pengajaran.

Kini, ribuan dalam kalangan mereka yang tinggal di khemah-khemah yang sempit. Suhunya panas pada siang (35’C hingga 37’C) kerana Palu terletak tepat di gariskan Khatulistiwa, manakala malamnya pula dingin.

Bekalan air bersih dan makanan begitu terhad, apatah lagi keperluan asasi lain seperti pendidikan dan tempat bermain buat anak-anak kecil yang masih belum mengenal erti kehidupan.

Biarpun dikatakan bahawa fasa darurat telah berlalu, tetapi apa ertinya buat mereka yang terpaksa berhadapan dengan keperitan dan realiti ini untuk beberapa bulan lagi dan mungkin juga beberapa tahun lagi.

Oleh itu, antara sumbangan yang boleh anda berikan adalah :

1. Sumbangan kewangan: Makanan dan tempat tinggal sementara ‘Huntara’ (hunian sementara). Begitu juga untuk sekolah sementara.

2. Bantuan perubatan: Menyertai pasukan perubatan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dengan memberikan khidmat pemeriksaan dan rawatan kesihatan bergerak daripada satu penempatan ke penempatan yang lain.

3. Menyertai NGO tempatan membina ‘Huntara’ dengan kos kira-kira RM7,900 sebuah (berbeza antara kawasan dan kualiti huntara).

4. Menyertai misi kemanusiaan bersama NGO kemanusiaan daripada Malaysia yang berkoordinasi dengan pasukan tempatan dari Sulawesi, Indonesia.

5. Mendoakan kebaikan buat mereka agar terus tabah dan temui jalan rehabilitasi serta hala tuju kehidupan yang terbaik.

Pilihan untuk membantu sebenarnya banyak.

Semoga keprihatinan dan sedikit usaha yang diberikan ini akan meringankan beban mereka, menggembirakan saudara kita serta akan menjadi pemberat mizan kelak.

Sulawesi – 17 Oktober 2018

Naib Presiden Isma
Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts