BANGI– Perkembangan terkini di Tunisia membuktikan bahawa sehingga kini tidak ada satu negara umat Islam yang akan dibiarkan berada dalam keadaan stabil.
Bahkan, negara Islam juga tidak ‘dibenarkan’ memiliki ruang yang selesa untuk berfikir soal kemajuan dalam acuan sendiri, kata Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim.
Semalam, Presiden Tunisia, Kais Saied mengumumkan penggantungan Parlimen dan pemecatan Perdana Menteri, Hichem Mechichi, berikutan insiden tunjuk perasaan terhadap parti pemerintah.
Ribuan rakyat Tunisia dilaporkan turun ke jalanan untuk menyertai tunjuk perasaan di beberapa bandar dengan mendakwa parti pemerintah gagal dalam banyak aspek, termasuk menangani pandemik COVID-19.
Syed Ahmad Israa’ mendakwa, senario itu menunjukkan bahawa kelompok dalam negara umat Islam sendiri akan dipergunakan oleh kuasa luar untuk mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.
“Kudrat, masa, tumpuan dan wang negara umat Islam akan habis digunakan hanya untuk mengurus ketidakstabilan dalam negara,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.
Bagi menghentikan perkara ini berlaku di negara Islam lain, beliau menegaskan, langkah yang penting adalah membebaskan diri daripada manipulasi luar ke atas situasi dalam negara.
“Untuk ini dicapai, sangat banyak usaha yang perlu dilakukan agar negara-negara umat Islam mampu bersifat mandiri, memiliki daya tahan yang tinggi dan mempunyai kesepaduan sosial yang utuh.
“Semua ini mustahil dilakukan jika negara-negara umat Islam – termasuklah Malaysia – masih kekal beroperasi dalam kerangka kenegaraan yang sedia ada,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)