Bagaimana barat cuba untuk menguasai dunia Islam

 

UNTUK menguasai dunia Arab/Islam di Timur Tengah, Barat guna cara kasar – campurtangan langsung (direct intervention) dengan pelbagai alasan – Al Qaedah, ISIS, Terrorisme, Senjata Pemusnahan Mass (WMD) demi untuk menjaga kepentingan Barat.

Untuk menguasai umat Islam selain dari dunia Arab, Barat menggunakan cara halus – penegakan demokrasi dan hak-hak asasi, penularan ideologi dan agenda – Liberalisme dan Sekularisme, bantuan dana kepada gerakan-gerakan sivil, blok-blok pembangkang, pembelaan terhadap golongan minoriti – LGBTQ, Syi’ah, Kristian, kumpulan etnik dan seumpamanya.

Bagi kedua-dua senario ini, sudah dilatih tenaga pakar dan penerus legasi serta algojo-algojo tempatan yang akan meneruskan kedua-dua perancangan dan muslihat Barat di atas baik melalui proksi-proksi media, institusi, parti-parti politik, individu dan tokoh dan para talibarutnya.

Perihal kemaruk mereka untuk menguasai bekalan sumber tenaga dan bahan mentah (petroleum dan gas) dan juga menjaga kepentingan Israel – semuanya diletakkan di bawah kuasa veto Amerika Syarikat atau Britain atau Rusia di majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu.

Bagi menghalang umat dari sedar dan bangkit, dimunculkan industri hiburan yang datang dalam pelbagai warna dan citarasa – candu dan dadah – satu sebatian yang sangat efektif untuk mendodoikan umat ke dalam ekosistem yang lagho, bersalutkan hawanafsu, kepentingan diri sendiri dan mempersetankan hak-hak moral masyarakat.

Hasilnya terbentuk satu generasi muda umat dan bangsa yang lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri dan bagaimana untuk menambah tahap memperturutkan kehendak hawanafsu yang tidak pernah kenyang.

Bagi menghalang dominannya suara umat yang menentang dan menghalang arus dan badai pemusnahan jatidiri umat dan kedaulatan agama, Barat melancarkan satu kempen yang berkesan terhadap kumpulan ini – momokkan dan takutkan umat dan masyarakat umum melalui penglabelan – ekstrimis, anti-nasional, anti-perpaduan, rasis, pemecahbelah, pemfitnah, tidak toleransi dan seumpamanya. Matlamatnya – supaya umat dijauhkan dari kumpulan yang bakal menyelamatkan mereka sendiri.

Bagi mengetatkan lagi rancangan ini, Barat akan menonjolkan kumpulan apologetik, progresif, inklusif, demokrat dari kalangan umat yang dipilih secara selektif – baik mereka ini terdiri dari kumpulan “Islamis”, anglophile, tokoh-tokoh politik dan juga kelompok-kelompok kecil masyarakat yang sedia melaksanakan setiap arahan dan perintah dari “Tuan” Barat mereka yang masih dominan dan menjadi sutradara belakang pentas.

Sekiranya perlu, mereka ini akan ditempatkan di dalam kedudukan-kedudukan strategik di dalam pemerintahan, pusat-pusat kuasa dan jabatan, agensi atau institusi-institusi pilihan ataupun juga diberi penampilan tersusun di media sosial atau media massa.

Bagi memperkemas langkah untuk menguasai minda masyarakat umum, media massa yang satu ketika dahulu digelar media alternatif, kini telah beralih peranan untuk menjadi jurucakap baru kepada agenda luar ini dan sekarang telah bergabung dengan media arus perdana yang mendapati peranan mereka juga telah bertukar – iaitu menjadi lidah rasmi kepada pihak pembangkang yang memerintah.

Maka sajian dan juadah harian berupa berita, maklumat, informasi, pemujukan, fakta dan data – semuanya akan dikerahkan secara halaus dan nyata untuk mempengaruhi dan akhirnya menguasai minda rakyat dan masyarakat umum.

Lalu di mana posisi umat yang sedar dalam suasana ini?

Apakah mereka akan terus berpeluk tubuh dan redha dengan “taqdir” yang telah menimpa?

Atau memilih untuk meninggalkan pos-pos perjuangan dan melemparkan senjata?

Atau mempersiapkan diri untuk menghadapi akhir zaman dan memulakan langkah pertama mengembara ke alam barzakh?

Atau berpada dengan islah dan tazkiyah diri sendiri dan membina keluarga yang bahagia dan harmonis?

Atau mengeluh dan terus berputus asa?

Atau berhijrah ke puncak bukit dan bertapa dalam kekelaman gua demi mencapai Ma’rifat, Fana’ dan Hakikat?

Atau menarik nafas secukupnya, mengutip sisa-sisa kekuatan, mengumpul saki baki umat yang masih mengalir Iman di tubuh mereka lalu menetapkan langkah dan memperbaharui tekad dan janji setia?

Sudahkan anda membuat pilihan?

Mohd Luttfi Bin Abdul Khalid

Sumber: https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/1911887975501870

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts