Tokoh-tokoh kemerdekaan wanita

drnorzila2P16

 

Kita sering mendengar tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Tuanku Abdul Rahman Putera, Datu Mat Salleh, Tok Gajah, Tok Janggut, Mat Kilau dan lain-lain lagi, namun kita jarang mendengar tentang tokoh-tokoh kemerdekaan wanita. Di sini saya cuba senaraikan beberapa orang tokoh wanita yang dikaitkan dengan sejarah kemerdekaan negara.

1. Tan Sri Hajah Zainun atau Ibu Zain (1903-1989)

Ibu Zain bertuah kerana ayahnya, Munshi Sulaiman mempunyai kesedaran yang tinggi peri pentingnya pendidikan di kalangan anak-anaknya, tidak kira lelaki mahupun perempuan. Malah, ayahnya melanggar tradisi masyarakat Melayu ketika itu yang melarang anak perempuan dari belajar, selain daripada belajar mengaji Al-Quran.

Beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi untuk melihat lebih ramai kaum wanita pandai membaca dan menulis kerana ilmu merupakan kunci yang membentuk jati diri beliau sendiri. Semuda usia 17 tahun, Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan atas perbelanjaannya sendiri.

Ibu Zain juga aktif dalam persatuan.

Dengan daya juang yang tinggi, beliau merupakan salah seorang perintis UMNO dan Ketua Kaum Ibu, UMNO (sekarang Ketua Wanita UMNO). Jasa Ibu Zain tambah bermakna selepas pendudukan Jepun di bumi Malaya. Beliau menjalankan kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar tersebut. Lebih mengejutkan, beliau mampu menguasai bahasa Jepun dalam tempoh sebulan sahaja.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain turut menyumbang bakti. Beliau berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Di zaman konfrontasi dengan komunis, wanita berani ini mendaftar diri sebagai tentera sukarela dan meredah hutan seorang diri. Beliau bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain bagi menangkis dakyah komunis daripada menular di kalangan masyarakat. Ternyata usaha beliau membuahkan hasil.

2. Puan Sri Datin Hajah Putih Mariah binti Ibrahim Rashid (1914-2006)

Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu dan Inggeris di Perak namun tidak didapat diteruskan apabila Perang Dunia Kedua meletus.Beliau merupakan tokoh politik wanita pertama berjuang untuk kemerdekaan.

Sejak awal lagi beliau telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal Kaum Ibu iaitu sebelum Pergerakan Kaum Ibu UMNO di tubuhkan secara rasminya pada 1946. Sering menghabiskan masa dengan aktiviti kebajikan di samping menganggotai pertubuhan sukarela, hampIr semua masanya dicurahkan kepada kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa.

3. Puan Khatijah Sidek (1918-1982)

Pemimpin wanita UMNO yang pertama dengan lantang dan terbuka memperjuangkan supaya hak wanita dalam parti disamatarafkan dengan hak kaum lelaki. Di Persidangan Agung UMNO 1953, beliau menuntut supaya kaum ibu diberikan hak mengundi dan ditambahkan bilangan wakil mereka di peringkat kebangsaan.

Kepimpinan beliau menyebabkan hampir 10,000 wanita menyertai UMNO untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Pernah digelar ‘Iron Lady of Malaya’ disebabkan kelantangan beliau berbicara dan pernah dipecat dari UMNO atas sebab yang sama.

Antara kata-kata atau pantun menyuntik semangat yang pernah beliau ungkapkan ialah

“Bangun melur bangun melati,
Kembang bunga petang dan pagi,
Biar lebur biar mati,
Namun tak mahu dijajah lagi.”

4. Tan Sri Datin Paduka Seri Aishah Gani (1923- 2013)

Penglibatan Datin Paduka Aishah Gani dalam bidang politik memang mengagumkan. Bermula sebagai wartawan untuk Parti Kebangsaan Melayu (PKM), kemudian mengetuai Angkatan Wanitar Sedar (AWAS) iaitu sayap wanita PKM, dan setahun lepas itu beliau menyertai UMNO.

Selain daripada menulis untuk Berita Harian dan kumpulan New Strait Times, beliau juga dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Ketua Wanita UMNO, dan pada 1963 menjadi senator wanita Malaysia yang pertama, dan juga merupakan wakil wanita yang pertama ke perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Datin Paduka Aishah Ghani memegang jawatan Ketua Wanita UMNO sepanjang 12 tahun sehinggalah tahun 1984.

Kata-kata beliau dalam artikel Utusan Melayu 31/8/2000 dipetik,

“Cabaran wanita pada hari ini adalah lebih besar berbanding wanita dahulu.

”Jika dahulu golongan wanita bekerja keras bagi memperjuangkan hak mereka, tetapi wanita hari ini perlu lebih peka terhadap isu-isu dan perkembangan semasa terutama perkara berkaitan dengan institusi kekeluargaan,” jelasnya.

Katanya lagi, wanita hari ini tidak lagi berfungsi sebagai seorang ibu dan isteri tetapi peranan mereka lebih luas iaitu sebagai pekerja, majikan dan sebahagian daripada ahli masyarakat. Dalam dunia yang serba mencabar, peranan yang dimainkan oleh kaum wanita amat besar kerana masa depan anak-anak terletak di atas bahu mereka.”

5. Tan Sri Fatimah Hashim (1924-2010)

Berasal dari Muar, Johor, beliau merupakan Menteri Kebajikan Am Malaysia antara 20 Mei 1969 hingga 28 Februari 1973 serta wanita pertama Malaysia dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia.

Semasa mengikuti suaminya bekerja di Kota Tinggi, beliau pernah membuka kelas dewasa di rumah sendiri untuk membantu penduduk yang buta huruf.

Pada tahun 1956, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya, (Wanita UMNO) menggantikan tempat Khadijah Sidek. Semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik dan sekaligus menyertai UMNO.

Beliau merupakan tokoh dan juga pengasas Hari Wanita di Malaysia yang disambut pada 25 Ogos setiap tahun, satu perayaan yang kekal disambut sehingga sekarang.

Beliau seorang daripada empat rakyat Malaysia yang terkemuka dan cemerlang untuk menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.

Jenazah beliau disemadikan di Masjid Negara di sebelah pusara suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf iaitu bekas Peguam Negara Malaysia dan Menteri Undang-Undang dan Pembangunan Negara. Beliau adalah wanita pertama yang dikebumikan di Makam Pahlawan.

Dr Norzila Baharin
Naib Ketua Wanita ISMA

www.indahnyaislam.my

http://isma.org.my/v2/pejuang2016

Total
0
Shares
2 comments
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts