USIM cipta aplikasi Quran isyarat pertama,mudahkan OKU

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) berjaya mencipta aplikasi Quran Isyarat pertama di negara bagi memudahkan Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pendengaran untuk membaca dan mendalami Al-Quran.

Naib Canselor USIM Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) di FPQS telah menjalankan penyelidikan meneroka ilmu baharu ke arah mempromosi keseimbangan hidup komuniti OKU bertunjangkan Maqasid Syariah dan pendekatan Islami.

“Kekuatan visual dan celik IT dalam kalangan OKU pendengaran menjadi asas kepada penerokaan dan kajian berkaitan kesediaan, kebolehgunaan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran berasaskan kekuatan mereka.

“Komuniti OKU pendengaran, bukan sahaja dari Malaysia malah di seluruh pelosok dunia mampu untuk membaca Quran menggunakan Aplikasi Quran Isyarat dan boleh muat turun aplikasi ini melalui platform android dan iOS secara percuma,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Aplikasi Quran Isyarat dan perasmian bangunan Falkulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) di USIM, dekat sini, semalam.

Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan merasmikan majlis yang turut dihadiri Pro-Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mohamed Ridza berkata aplikasi tersebut turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai First Sign Languange Al-Quran Application.

Jelasnya aplikasi tersebut bermula daripada hasil projek tahun akhir pelajar FPQS sesi 2015/2016 yang menciptakan courseware software interaktif pembelajaran Quran dan Solat (iSign QurANIS) pada 2017.

Kemudian hasil maklum balas Persatuan Orang Pekak Muslim Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) membuka ruang penambahbaikkan produk ini daripada courseware software kepada platform Android dan iOS.

Katanya projek ini menerima suntikan dana di bawah program Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan sokongan SME Corp bagi menyempurnakan Fasa satu dan dua iaitu menaik taraf reka bentuk aplikasi dan melengkapkan 30 juzuk kaedah Tilawah Quran dengan isyarat kod tangan Quran dan transliterasi Makhraj.

Pengarah UMMI Dr Norakyairee Mohd Raus berkata setakat ini Surah Al-Fatihah dan Juzuk Amma atau Juz ke-30 dalam Al-Quran telah lengkap dibangunkan dan baki 29 juzuk lagi memerlukan dana khas bagi menyempurnakan 30 Juzuk Quran.

Norakyairee berkata kos pembangunan aplikasi tersebut bagi fasa satu dan dua mencecah hampir RM1 juta dan memerlukan kira-kira RM3 juta lagi bagi fasa tiga untuk melengkapkan baki 29 juzuk Terjemahan Quran mesra OKU pendengaran.

Noraini dalam ucapannya berkata kejayaan aplikasi tersebut telah menarik minat Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan menjemput penyelidik daripada UMMI mempromosikan aplikasi tersebut di Expo Dubai 2020 sebagai pendedahan di peringkat antarabangsa. – AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts