Madrasah hasil sumbangan Malaysia dibuka di Vietnam

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff diundang khas bagi merasmikan sebuah madrasah di Vietnam, kelmarin.

Jakim menerusi kenyataan berkata, institusi pengajian Islam itu dikenali sebagai Madrasah Darussalam Littadrib al-Islami di Wilayah Tay Ninh yang terletak di tenggara negara itu.

“Sebelum ini operasinya agak terhad kerana kelas dilakukan di sebuah masjid namun kini bangunan baharu siap itu mampu menampung seramai 350 murid dalam satu masa,” kata kenyataan itu di sini.

Hakimah ketika ucapannya di majlis berkenaan, merakamkan ucapan tahniah kepada Persatuan Kebajikan Darul Quran Jakim yang telah banyak membantu usaha pengumpulan dana infaq sejak tahun 2018.

Tambah beliau, sumbangan tersebut disalurkan terus kepada pihak pengurusan madrasah itu digunakan bagi pembinaan asrama pelajar perempuan serta rumah guru.

Ujarnya, hasil kutipan derma dari Malaysia itu juga dijadikan modal bagi pembelian sebidang tanah kebun getah berkeluasan 1.8 hektar dan sebuah kilang pembuatan roti.

Premis perusahaan makanan itu juga menerima bantuan infaq awam menerusi Tabung Ekonomi Islam Vietnam dan Maahad Tahfiz Ar-Rahmah, Kuala Terengganu, Terengganu.

Keuntungan yang diperoleh daripada estet dan kilang itu kata Jakim, dijadikan platform bagi pihak madrasah membiayai kos pembelajaran dan pengurusan operasi harian.

Turut hadir pada perasmian tersebut , Konsul Malaysia di Ho Chi Minh City, Raja Hanizam Putra Raja Najmudin dan Pengarah Darul Quran Jakim, Ansarullah Mohd. Hashim. – KOSMO! ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts