Inilah wasiat yang diminta oleh Saleh agar disiarkan selepas kesyahidannya:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang berfirman:
“Dan janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati; bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka, diberi rezeki.”
Aku Saleh,
Aku tinggalkan wasiat ini bukan sebagai tanda perpisahan bahkan sebagai kesinambunan kepada jalan yang telah kupilih dengan penuh keyakinan.
Allah Maha Mengetahui bahawa aku telah mengerahkan segala tenaga dan kemampuan untuk menjadi sandaran dan suara bagi rakyatku.
Aku telah hidup dalam derita dan penindasan dengan segala perinciannya; aku telah merasai kesakitan dan kehilangan orang-orang yang kucintai berulang kali.
Namun aku tidak pernah berhenti walau sehari daripada menyampaikan kebenaran sebagaimana ianya terzahir.
Kebenaran inilah yang akan menjadi hujah keatas mereka yang lalai dan yang berdiam diri, dan Kebenaran ini jugalah yang akan menjadi kemuliaan bagi setiap yang menolong, menyokong dan berdiri bersama manusia paling mulia yakni penduduk Gaza yang terhormat.
Jika aku gugur sebagai syahid, ketahuilah bahawa aku tidaklah menjauh dari kalian semua…
Bahkan, Aku kini berada di syurga, bersama sahabat-sahabat yang telah mendahului: bersama Anas, Ismail, dan semua kekasih yang telah menepati janji mereka dengan Allah.
Aku berwasiat kepada kalian:
Ingatlah aku dalam doa, dan teruskan perjuangan selepasku.
Ingatlah aku dengan sedekah jariah dan sebutlah namaku setiap kali kalian mendengar azan atau melihat cahaya yang membelah malam Gaza.
Aku berwasiat kepada kalian dengan muqawamah, jalan yang telah kami tempuhi dan yakini, kerana kami tidak mengenal bagi diri kami jalan selainnya dan kami tidak temui makna kehidupan kecuali dalam keteguhan di atasnya.
Aku berwasiat kepada ayahku:
Wahai kekasih hatiku, teladanku, tempat aku melihat diriku dan tempat engkau melihat dirimu padaku.
Engkau yang sentiasa bersamaku di saat perang dengan segala ujian dan luka.
Aku berdoa agar kita bertemu di syurga dan semoga engkau redha denganku, wahai mahkota di atas kepalaku.
Aku berwasiat kepada saudaraku, guruku, dan teman seperjuanganku, Naji:
Wahai Naji.. aku telah mendahuluimu menuju Allah sebelum engkau keluar dari penjara. Ketahuilah bahawa ini adalah takdir yang telah Allah tulis dan kerinduan kepadamu tetap bersemayam dalam hatiku.
Aku ingin melihatmu, memelukmu, bertemu denganmu tetapi janji Allah itu benar dan pertemuan kita di syurga lebih dekat daripada yang kau sangka.
Aku berwasiat kepada ibuku:
Wahai ibu, hidup tanpamu tiada erti.
Engkaulah doa yang tidak pernah terhenti, harapan yang tidak pernah mati.
Aku telah berdoa agar Allah menyembuhkan dan mengurniakanmu kesihatan, dan aku sering bermimpi melihatmu pulih dan tersenyum selepas kembali dari rawatan.
Aku berwasiat kepada saudara-saudaraku lelaki dan perempuan:
Keredhaan Allah, kemudian keredhaan kalian, itulah matlamatku.
Aku memohon kepada Allah agar menggembirakan kalian, dan menjadikan hidup kalian seindah hati-hati lembut yang selama ini aku cuba bahagiakan.
Aku sering berkata:
“Kata-kata tidak akan sirna dan gambar tidak akan terpadam.”
Kata adalah amanah, dan gambar adalah risalah.
Sampaikanlah ia kepada dunia sebagaimana kami telah menyampaikannya.
Janganlah kamu sangka kematianku adalah pengakhiran, sebaliknya ia permulaan jalan panjang menuju kebebasan.
Aku hanyalah utusan sebuah risalah yang ingin aku sampaikan kepada dunia yang menutup mata dan kepada mereka yang membisu terhadap kebenaran.
Apabila kamu mendengar khabarku, jangan menangis untukku.
Kerana aku telah lama menantikan saat ini, dan aku telah memohon kepada Allah agar mengurniakannya kepadaku.
Segala puji bagi Allah yang telah memilihku untuk apa yang aku cintai.
Dan kepada sesiapa yang pernah menyakitiku dengan makian, tuduhan, atau fitnah, aku katakan kepada kalian:
Aku kini berangkat menuju Allah, semoga sebagai syahid dengan izin-Nya.
Dan di sisi Allah, kelak para pihak yang berselisih akan dipertemukan.
Aku berwasiat kepada kalian tentang Palestin, tentang Masjid al-Aqsa:
Adalah cita-citaku untuk sampai ke halamannya untuk solat di dalamnya, untuk menyentuh tanah sucinya.
Jika aku tidak sempat mencapainya di dunia, aku berdoa agar Allah menghimpunkan kita semua di sana, di syurga yang abadi.
Ya Allah, terimalah aku dalam golongan para syuhada’, ampunilah dosaku yang lalu dan yang akan datang dan jadikanlah darahku cahaya yang menerangi jalan kebebasan bagi rakyat dan bangsaku.
Maafkanlah aku jika aku pernah tersilap, dan doakan aku agar diampuni dan dirahmati, kerana aku telah berpegang kepada janji, dan aku tidak berpaling dan tidak mengubahnya.
Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Saudaramu,
Al-Syahid, insyaAllah, Saleh ‘Amir Fuad al-Jafarawi
12 Oktober 2025
Sumber: Dunia Palestin
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








