23 Aktivis Dijadual Tiba di Malaysia pada 7 Oktober, jam 9.45 malam

ISTANBUL: Sumud Nusantara Command Center telah mengesahkan bahawa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka pulang ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa, 7 Oktober, jam 9:45 malam.

Menurut jemputan media yang dihantar kepada Astro AWANI, Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia akan diadakan di KLIA bagi menyambut ketibaan mereka.

Kesemua 23 aktivis Sumud Nusantara Malaysia kini berada di Istanbul bagi menjalani beberapa proses dokumentasi serta pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.

Pada Sabtu lalu, kesemua 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza telah dibebaskan. Mereka kemudiannya dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel sebelum berlepas ke Istanbul, Turkiye.

Sementara itu, pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk menganjurkan himpunan khas bagi meraikan kepulangan para wira dan wirawati GSF.

Dalam kenyataannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan 23 sukarelawan tersebut sebagai lambang keberanian rakyat Malaysia. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Keselamatan Presiden Turkiye, Dr. Ibrahim Khalil, atas peranan besar dalam memastikan keselamatan dan kesihatan sukarelawan Malaysia terjamin sepanjang proses pembebasan.

Perdana Menteri juga meminta para sukarelawan untuk menulis nota penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, atas jasa dan usaha beliau membantu membawa keluar mereka dari tahanan Israel serta memberikan perlindungan sementara di Istanbul.

Sumber: Astro Awani

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts