Institusi pengajian Islam benteng jaga akhlak, moral ummah

KUANTAN: Institusi pengajian tinggi Islam merupakan benteng bagi menjaga akhlak dan moral demi melahirkan ummah yang kuat dalam meniti arus pemodenan dunia serba mencabar ketika ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, bagi mencapai hasrat tersebut, Seri Paduka bersyukur dengan penubuhan Akademi Hadis Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) pada 21 Jun 2019.

“Akademi yang lahir dari cetusan idea beta ini diharap akan dapat membudayakan pengajian hadis secara sistematik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Penubuhan Institut Jawi UniPSAS pada 20 Februari 2020 menjadi pemangkin kepada pemerkasaan penggunaan tulisan Jawi di negeri ini. Sejak penubuhannya, institut berkenaan menjadi pusat rujukan kepada semua pihak khususnya dalam menyemak ketepatan ejaan dan penggunaan tulisan Jawi.

“Beta bersyukur dan berbangga apabila tulisan Jawi terus mendapat tempat dan semakin diperkasakan di seluruh negeri,” titah Seri Paduka ketika mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pemasyuran UnIPSAS di Auditorium Tuanku Canselor di sini semalam.

Turut mengiringi Seri Paduka, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah, UnIPSAS disaran terus meneroka bidang-bidang baharu pengajian Islam dan menjalin hubungan strategik dengan universiti di luar negara bagi menentukan syiar Islam dapat terus bersemarak.

“UnIPSAS juga hendaklah menjadi contoh dan tauladan sebagai sebuah universiti Islam yang ditadbir tulus dan cekap. Beta berkeyakinan melalui pengiktirafannya sebagai sebuah universiti, nama UnIPSAS akan semakin dikenali bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara sekali gus menjadikanya sebuah universiti berwibawa dalam bidang pengajian berteraskan agama Islam.

“Dengan itu, ia akan dijadikan pilihan utama sebagai destinasi menyambung pengajian bagi anak-anak muda terutamanya dalam kalangan lepasan sekolah-sekolah menengah agama,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, majlis turut menyaksikan pelantikan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selaku Canselor UniPSAS dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nassier Ibrahim Shah selaku Pro-Canselor I dan Pro-Canselor II.

Pemasyuran UnIPSAS yang memainkan peranan dalam memartabatkan ilmu-ilmu Islam menerusi kegiatan akademik dan  kajian serta penyelidikan merupakan kebanggaan rakyat negeri ini. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts