Hamas teguh pertahan Taufan Al-Aqsa, enggan kuasa asing tentukan masa depan Gaza

Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mempertahankan operasi Taufan al-Aqsa menentang kekejaman dan keganasan rejim Israel.  

“Ini adalah langkah yang perlu dan tindak balas biasa untuk menghadapi semua konspirasi Israel terhadap rakyat Palestin dan perjuangan mereka. 

“Ia adalah tindakan pertahanan dalam rangka menyingkirkan pendudukan Israel, dan menuntut semula hak Palestin…,” kata Hamas.

Gerakan itu berkata, Israel secara sistematik memusnahkan impian untuk menubuhkan negara Palestin melalui kempen meluas pembinaan penempatan haram dan pengyahudian tanah Palestin di Tebing Barat yang diduduki dan bandar al-Quds.

Rejim Israel telah membina ratusan penempatan di seluruh wilayah tersebut, yang menyalahi undang-undang antarabangsa kerana pembinaannya di wilayah yang diduduki. 

Disokong oleh tentera rejim, peneroka haram Israel juga kerap menceroboh Kompleks Masjid al-Aqsa, tapak ketiga paling suci bagi umat Islam. 

Hamas juga merujuk kepada sejarah pencerobohan Israel dan Barat terhadap Palestin, dengan berkata, “Pertempuran rakyat Palestin menentang penjajahan dan pendudukan tidak bermula pada 7 Oktober, tetapi bermula 105 tahun lalu, termasuk 30 tahun penjajahan British dan 75 tahun pendudukan Zionis.”

Melindungi nyawa orang awam

Hamas menjelaskan bahawa Operasi Taufan al-Aqsa secara eksklusif menyasarkan pangkalan tentera Israel dan segala usaha dilakukan untuk menangkap tentera Israel bagi membebaskan tahanan Palestin.

“Kami mengulangi bahawa pejuang Palestin komited kepada nilai-nilai Islam semasa operasi dan hanya menyasarkan tentera pendudukan serta mereka yang membawa senjata terhadap rakyat kita,” kata Hamas.

Menekankan bahawa jika terdapat sebarang kes menyasarkan orang awam, ia berlaku secara tidak sengaja dan semasa konfrontasi dengan pasukan pendudukan.

Gerakan itu berkata; “Ramai warga Israel dibunuh oleh tentera dan polis Israel sendiri kerana kekeliruan mereka dengan Operasi Taufan al-Aqsa, sehingga membawa kepada keruntuhan sistem keselamatan dan ketenteraan Israel.

Israel perlu diheret ke muka pengadilan

Hamas turut menggesa pencerobohan Israel ke atas Gaza dan jenayah pembersihan etnik dihentikan serta-merta, termasuk membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Gerakan itu mendesak rejim Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas penderitaan rakyat Palestin susulan jenayah keji yang dilakukan terhadap orang awam, infrastruktur, hospital, kemudahan pendidikan, masjid dan gereja.

“Kami menggesa pentadbiran AS, Jerman, Kanada dan UK, sekiranya mereka benar-benar mahu keadilan ditegakkan, mereka harus mengumumkan sokongan mereka terhadap siasatan jenayah yang dilakukan Israel.

“Mereka perlu memberikan sokongan penuh kepada mahkamah antarabangsa untuk melaksanakan tugas dengan berkesan,” kata Hamas.

Sebelum ini, Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana rejim Zionis itu melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza.  

Mexico dan Chile juga telah meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat perang genosid Israel, memetik peningkatan keganasan terhadap sasaran awam.

Masa depan Gaza adalah milik rakyat Gaza

Hamas dengan tegas menolak sebarang usaha kuasa asing untuk menentukan masa depan Gaza.

“Kami secara mutlak menolak mana-mana projek antarabangsa atau Israel yang bertujuan untuk menentukan masa depan Gaza yang hanya berfungsi untuk melanjutkan pendudukan. 

“Kami menekankan bahawa rakyat Palestin mempunyai kapasiti untuk menentukan masa depan mereka dan mengatur hal ehwal dalaman mereka, dan dengan itu tiada pihak dalam dunia mempunyai hak untuk mengenakan sebarang bentuk penjagaan ke atas rakyat Palestin atau membuat keputusan bagi pihak mereka.”

Rejim Israel dan Amerika Syarikat, sekutu terbesar Tel Aviv, telah menghasilkan beberapa rancangan ‘pasca perang’ untuk Gaza, menunjukkan bahawa wilayah itu mungkin tidak diperintah oleh gerakan pejuang selepas pencerobohan tentera Israel. 

Hamas dan masyarakat antarabangsa telah pun menolak semua rancangan tersebut, dengan menegaskan nasib Gaza hanya terletak di tangan rakyatnya sendiri. – Agensi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Elak jadi ejen Israiliyyat

  KECENDERUNGAN masa kini menyaksikan penganjuran program berbentuk keagamaan semakin mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan umat Islam. Antaranya,…