Sepuluh daripada 12 aktivis yang ditahan oleh Israel dari bot Madleen kini telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Pada 9 Jun, tentera Israel merampas kapal Madleen di perairan antarabangsa Laut Mediterranean semasa kapal itu cuba melepasi sekatan ketat ke atas Gaza.

Kesemua 12 aktivis di atas kapal – yang merupakan sebahagian daripada Gabungan Freedom Flotilla – telah diculik di perairan antarabangsa dan dibawa masuk ke wilayah Israel.

Apa Yang Berlaku Selepas Mereka Ditahan?
Sehari selepas ditahan, empat daripada aktivis itu dihantar pulang dengan segera selepas melepaskan hak untuk berjumpa hakim Israel dan menandatangani surat arahan untuk dihantar pulang, yang menyatakan mereka telah “masuk ke Israel secara haram”.
Antara yang dihantar pulang ialah Greta Thunberg, aktivis terkenal dari Sweden yang memperjuangkan isu iklim dan hak asasi manusia.
Lapan aktivis lain menolak untuk tandatangan surat tersebut, lalu terus ditahan. Pada Khamis, enam daripada mereka dihantar pulang, termasuk Rima Hassan, ahli Parlimen Eropah berketurunan Palestin-Perancis.
Dua lagi warganegara Perancis masih berada dalam tahanan dan dijangka dihantar pulang pada hari Jumaat, menurut Adalah, sebuah pertubuhan undang-undang tanpa keuntungan di Israel.

Siapa 12 Aktivis Ini?
Pada hari Selasa, aktivis yang dihantar pulang ialah:
- Greta Thunberg (Sweden)
- Sergio Toribio (Sepanyol)
- Baptiste Andre (Perancis)
- Omar Faiad (Perancis), wartawan Al Jazeera Mubasher
Pada hari Khamis, enam lagi dihantar pulang:
- Rima Hassan (Perancis-Palestin)
- Mark van Rennes (Belanda)
- Suayb Ordu (Turki)
- Yasemin Acar (Jerman)
- Thiago Avila (Brazil)
- Reva Viard (Perancis)
Dua yang masih ditahan:
- Pascal Maurieras (Perancis)
- Yanis Mhamdi (Perancis), wartawan media sayap kiri, The Blast
Di Mana Mereka Ditahan?
Mereka ditahan di Penjara Givon, yang terletak di Ramla, antara Baitulmaqdis Barat dan Tel Aviv.
Dua daripada aktivis, Rima Hassan dan Thiago Avila, telah diletakkan dalam sel kurungan bersendirian, menurut Adalah.
Rima dikurung selepas menulis “Free Palestine” (Bebaskan Palestin) di dinding penjara, manakala Avila melancarkan mogok lapar dan tidak minum air sebagai protes terhadap sekatan Israel ke atas Gaza yang menyebabkan rakyat kelaparan.
Rima kemudian dikembalikan ke Penjara Givon.
Selepas pembebasan mereka pada hari Khamis, Adalah menyatakan bahawa para aktivis telah dilayan secara kasar, dikenakan hukuman tambahan, dan dua orang ditempatkan dalam kurungan bersendirian buat sementara waktu.
Adakah Israel Melanggar Undang-Undang Antarabangsa?
Menurut Luigi Daniele, seorang pakar undang-undang dari Universiti Molise, Itali, Israel tiada hak untuk mencegah kapal di perairan antarabangsa atau menghalang bantuan kepada penduduk Gaza yang kelaparan.
Sebaliknya, sebagai kuasa penjajah, Israel mempunyai tanggungjawab mengikut undang-undang antarabangsa untuk membenarkan bantuan sampai ke Gaza.
Katanya, Israel juga tidak berhak menggunakan kekerasan secara tetap di wilayah Palestin yang dijajah, termasuk terhadap aktivis yang sedang belayar ke Gaza.
Adalah juga menegaskan bahawa para aktivis itu tidak berniat masuk ke Israel, sebaliknya ingin ke Gaza – wilayah Palestin yang dijajah.
Namun, mahkamah Israel menolak hujah-hujah undang-undang yang dikemukakan oleh Adalah.
Berapa Lama Lagi Dua Yang Masih Ditahan Akan Berada Dalam Tahanan?
Mengikut undang-undang Israel, aktivis yang ditahan sepatutnya dibebaskan dalam tempoh 72 jam sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.
Ini bermakna semua aktivis sepatutnya telah dibebaskan pada 12 Jun, namun masih belum jelas jika dua yang masih ditahan – Maurieras dan Mhamdi – akan dikenakan pertuduhan tambahan yang boleh melanjutkan tempoh tahanan mereka.
Adakah Negara Mereka Bertindak?
Sesetengah kerajaan telah bertindak, manakala yang lain berdiam diri.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menyatakan bahawa beliau menjangka empat warga Perancis di atas bot Madleen akan pulang pada Khamis atau Jumaat. Namun, dua masih belum dibebaskan setakat hari Khamis.
Brazil telah menuntut pembebasan aktivis mereka, Thiago Avila, dan diplomat Brazil turut mengunjungi penjara Givon untuk memberi bantuan guaman.
Turki menyifatkan Israel sebagai “negara pengganas” selepas kejadian rampasan bot Madleen.
Namun, Jerman dan Belanda tidak mengeluarkan kenyataan awam untuk menuntut pembebasan rakyat mereka.
Mark van Reenes, kapten bot Madleen dari Belanda, telah merakam video sebelum ditahan, merayu agar negaranya segera menuntut pembebasannya.
Sementara itu, Pelapor Khas PBB bagi wilayah Palestin yang dijajah, Francesca Albanese, menyelar dalam hantaran di X:
“Diamnya institusi Kesatuan Eropah terhadap penahanan tidak sah dan layanan kasar terhadap warganegara EU seperti [Hassan] mencerminkan betapa kuatnya pengaruh Israel dalam budaya institusi Eropah.”
Sumber : AlJazeera