Hadif Tamat Syahadah Ula: Hafiz Muda Cemerlang dari Maahad Tahfiz Al-Fateh

Batang Kali, – Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Hadif, telah mencatatkan satu pencapaian membanggakan apabila berjaya menamatkan Syahadah Ula, iaitu tahap tertinggi dalam pengiktirafan hafazan Al-Quran. Kecemerlangannya ini sekali gus menjadikan beliau antara segelintir pelajar yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran dengan kelulusan rasmi daripada institusi.

Sumber : Hantaran Facebook Maahad Tahfiz Al Fateh

Syahadah Ula bukan sekadar menandakan seseorang itu telah menghafaz keseluruhan Al-Quran, malah ia melibatkan proses semakan ketat dan sistematik oleh panel pemeriksa.

Pelajar perlu melalui ujian bacaan bagi setiap juzuk dan tidak boleh melakukan lebih daripada 10 kesilapan setiap satu. Hadif berjaya melepasi ujian ini dengan cemerlang, menunjukkan ketekunan dan komitmen yang tinggi dalam pengajian tahfiznya.

Pihak pengurusan Maahad Tahfiz Al-Fateh menyatakan rasa syukur dan bangga atas kejayaan Hadif. Menerusi kenyataan di halaman rasmi mereka, mereka menulis,

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah kami ucapkan kepada Saudara Hadif yang baru sahaja berjaya menghabiskan Syahadah Ula di Maahad Tahfiz Al-Fateh. Semoga Allah terus memberkati Hadif dan menjadikannya insan yang memberi manfaat kepada umat.”

Maahad Tahfiz Al-Fateh yang terletak di Batang Kali merupakan salah sebuah institusi tahfiz yang semakin dikenali di Malaysia kerana pendekatan pengajian Al-Quran yang sistematik dan holistik. Dalam tempoh hanya enam tahun penubuhannya, sebanyak 14 pelajar telah menamatkan hafazan 30 juzuk, dan daripada jumlah itu, lapan pelajar termasuk Hadif berjaya memperoleh Syahadah Ula. Ini membuktikan keberkesanan pendekatan pengajaran yang dilaksanakan oleh institusi tersebut.

Lebih daripada sekadar menghafaz, para pelajar di Maahad Tahfiz Al-Fateh turut diterapkan dengan ilmu tajwid, adab, kepimpinan dan kemahiran hidup. Aktiviti seperti berkuda, berenang, bersilat dan penguasaan bahasa Arab turut menjadi sebahagian daripada kurikulum harian, menjadikan para pelajarnya seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani.

Kejayaan Hadif ini bukan sahaja membanggakan keluarganya, malah turut menjadi inspirasi kepada pelajar tahfiz di seluruh negara. Dengan pencapaian ini, beliau kini diiktiraf sebagai seorang Hafiz yang bukan hanya menghafaz, tetapi juga mampu menyampaikan bacaan Al-Quran dengan tepat dan sah dari segi sanad dan tajwidnya.

Syahadah Ula bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan untuk Hadif mengembangkan ilmunya kepada masyarakat. Dengan pengiktirafan ini, beliau layak menjadi pengajar, imam atau tenaga penggerak dalam mana-mana institusi Islam yang memerlukan khidmat para Huffaz yang bertauliah.

Semoga kejayaan Hadif membuka jalan kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk menghafaz Al-Quran, mencintai kitab suci ini, serta menjadi pemimpin yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar.

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts