NEW YORK, 5 Muharram – Zohran Mamdani, calon Datuk Bandar New York daripada Parti Demokrat, telah mengejutkan ramai apabila berjaya menewaskan pesaing kuatnya, bekas Gabenor Andrew Cuomo. Mamdani yang terkenal dengan sokongan tegas terhadap rakyat Palestin, menang walaupun berdepan kekangan dana dan pengaruh politik.
Antara rancangannya untuk bandar New York ialah menubuhkan pasar raya milik bandar, membina lebih banyak rumah mampu milik, menyediakan bas percuma, dan membekukan kadar sewa untuk penyewa bersubsidi.
Namun, sepanjang kempen, media dan lawannya lebih banyak memberi tumpuan kepada pendiriannya yang lantang terhadap konflik Israel-Palestin. Mamdani menyokong hak rakyat Palestin dan menyifatkan serangan Israel di Gaza sebagai satu bentuk genosid, seperti yang dinyatakan oleh kumpulan hak asasi antarabangsa.
Walaupun dikecam dan ditekan kerana pendiriannya, Mamdani tidak berganjak. Kemenangannya dianggap sebagai satu pencapaian bersejarah dan titik perubahan dalam politik AS, terutamanya dalam kalangan progresif muda yang menyokong keadilan untuk Palestin.
Penyokongnya melihat kemenangan ini sebagai bukti bahawa calon progresif, termasuk yang mempertahankan hak Palestin, boleh berjaya dalam pilihan raya besar.
Walaupun keputusan rasmi belum diumumkan sepenuhnya, Mamdani mendahului dengan selesa dan Cuomo telah pun mengaku kalah. Ini membuka laluan buat Mamdani untuk memimpin New York – bandar terbesar di Amerika Syarikat. Sebagai calon Demokrat di kubu kuat parti itu, beliau dijangka menang mudah dalam pilihan raya umum November nanti, satu pencapaian luar biasa memandangkan beliau hanya mendapat 1% sokongan pada Februari.
Dari Aktivis ke Pusat Pentas Politik
Mamdani, seorang wakil rakyat negeri berusia 33 tahun, menggunakan media sosial untuk mendekati rakyat. Beliau membina sokongan melalui kempen akar umbi dan video tular. Beliau juga berani mendekati penyokong konservatif dan mereka yang kecewa dengan politik sedia ada.
Ketegasannya dalam mempertahankan hak Palestin menarik sokongan ramai anak muda dan pengundi progresif. Profesor Heba Gowayed dari City University of New York berkata, jika Mamdani tunduk kepada tekanan, beliau mungkin tidak akan mencapai kejayaan ini.
Cuomo Serang Isu Israel, Tapi Gagal Raih Sokongan
Andrew Cuomo cuba menjadikan pendirian Mamdani terhadap Israel sebagai isu utama kempen. Beliau menyifatkan kenyataan seperti “genosid” dan “penjenayah perang” terhadap Israel sebagai retorik yang membahayakan masyarakat Yahudi.
Namun usaha ini gagal. Mamdani terus mendapat sokongan, termasuk daripada pemimpin Yahudi progresif seperti Brad Lander, yang juga menyokong hak rakyat Palestin.
Kumpulan pro-Cuomo, termasuk Super PAC bernama Fix the City, turut melancarkan kempen besar-besaran menentang Mamdani. Kumpulan ini mendapat dana besar dari bilionair pro-Israel seperti Bill Ackman dan Michael Bloomberg. Namun wang yang banyak tidak berjaya menewaskan gelombang sokongan rakyat kepada Mamdani.
Sokongan Terhadap Palestin Jadi Kekuatan, Bukan Kelemahan
Menurut Beth Miller dari organisasi Yahudi progresif JVP Action, strategi Cuomo jelas tidak menjadi. Sokongan tanpa syarat kepada Israel kini tidak lagi diterima sepenuhnya oleh pengundi Demokrat, terutama selepas kekejaman yang berlaku di Gaza.
Miller berkata, pendirian Mamdani menyokong hak Palestin bukan satu beban, malah menjadi kekuatan yang menyatukan pelbagai kelompok pengundi – termasuk anak muda, Muslim, dan Yahudi progresif.
Beberapa tahun kebelakangan ini, calon-calon progresif sering tewas akibat kempen tajaan kumpulan pro-Israel seperti AIPAC. Namun kemenangan Mamdani membuktikan perubahan sedang berlaku.
“Kita sedang menyaksikan titik perubahan besar dalam politik AS,” kata Usamah Andrabi dari Justice Democrats. “Sokongan kepada Israel yang zalim bukan lagi dianggap sebagai politik yang baik.”
Sumber : AlJazeera
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Indahnya Islam : klik telegram.me/indahnyaislam