Ramadhan di sekolah: Soalan yang biasa ditanya ibu bapa

 

Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan bertemu Ramadhan. Bagi para ibu bapa dan guru, Ramadhan bersama anak-anak di sekolah punyai gelagat dan aneka ragamnya yang tersendiri.

Untungnya bulan puasa tahun ini serentak dengan cuti sekolah selama dua minggu. Sempatlah para ibu bapa melatih anak-anak berpuasa di rumah sebelum berpuasa di sekolah. Selalunya pada waktu-waktu begini juga bertubi-tubi soalan dari para ibu bapa kepada cikgu-cikgu berkenaan perjalanan sekolah dalam bulan Ramadhan ini.

Berikut saya kongsikan lima soalan yang selalunya menjadi tanda tanya kepada para ibu bapa terutama yang baru kali pertama punya anak yang bersekolah. Semoga bermanfaat buat semua para ibu bapa.

1. Kantin buka tak waktu bulan puasa?

Kebanyakan kantin sekolah akan ditutup sepanjang bulan Ramadhan. Kerana itu kami para guru mengesyorkan agar anak- anak yang tidak berpuasa membawa bekal ke sekolah. Ruang makan di kantin sentiasa dibuka dan murid-murid dibenarkan makan dan minum seperti biasa pada waktu rehat. Surat edaran berkenaan perkara ini biasanya diedarkan kepada murid-murid. Sila periksa beg sekolah anak-anak kita untuk sebarang pemakluman berkenaan Ramdhan ini.

2. Boleh bawak bekal tak kalau anak tak puasa?

Boleh. Tidak ada halangan. Anak-anak yang tidak berpuasa masih dibenarkan untuk makan dan minum pada waktu rehat di kantin sekolah. Namun kami galakkan para ibu bapa untuk menjelaskan kepada anak-anak mengenai adab – adab sekiranya anak-anak tidak berpuasa contohnya seperti jangan makan dan minum sesuka hati dihadapan rakan yang berpuasa atau menawarkan makanan dan minuman kepada rakan yang berpuasa.

3. Waktu balik macam biasa ke cikgu?

Untuk sekolah di sesi pagi waktu balik adalah seperti biasa. Untuk sesi persekolahan pada sebelah petang, waktu balik biasanya di awalkan setengah jam. Pertimbangan ini dibuat bagi meraikan anak-anak yang berpuasa agar mereka mendapat rehat yang secukupnya.

Ditambah pula dengan kesesakan lalulintas luarbiasa di sesetengah tempat perubahan waktu balik ini juga di buat untuk memudahkan urusan ibu bapa mengambil anak di sekolah pada sebelah petang di bulan puasa. Kebiasaannya pihak sekolah akan mengeluarkan surat makluman sebelum bulan ramadhan. Sila rujuk sekolah anak masing-masing kerana jadual waktu balik mungkin berbeza mengikut sekolah.

4. Ada PJ tak cikgu bulan puasa?

Ini juga antara soalan yang sering ditanya oleh ibu bapa. Matapelajaran Pendidikan Jasmani berjalan mengikut jadual seperti biasa. Cuma kebiasaannya tidak ada aktiviti luar bilik darjah yang dijalankan. Cikgu pun tak berapa larat juga nak melompat bulan-bulan puasa ni. Heheh.

Pada bulan puasa pendidikan Jasmani akan lebih tertumpu kepada pembelajaran teori kesihatan di dalam bilik darjah. Walaubagaimanapun murid-murid masih dibenarkan memakai pakaian sukan sepanjang hari sekiranya ada matapelajaran pendidikan jasmani pada hari tersebut.

5. Kenapa bekal anak saya tak berusik?

Selalu juga ada ibu bapa yang bertanyakan hal ini. Tiada waktu rehat ke pada bulan puasa cikgu? Sehinggakan bekal anak saya seolah-olah tidak berusik. Sebenarnya begini. Disekolah para guru juga sering memotivasikan anak-anak untuk cuba berpuasa dalam bulan Ramadhan ini.

Jadi, selalunya pada waktu rehat ada pelbagai aktiviti yang disediakan pada waktu rehat untuk memeriahkan bulan Ramadhan dalam masa yang sama mengalih perhatian murid-murid dari berfikir soal makan dan minum. Dengan tadarusnya, tayangan video di kantin dan makmal komputer, aktiviti di perpustakaan dan macam-macam lagi. Murid-murid biasanya lebih seronok menyertai aktiviti-aktiviti ini bersama rakan mereka.

Para pendidik dan ibu bapa sekalian,

Ayuh kita manfaatkan Ramadhan kali ini sebagai platform mendidik anak-anak untuk punya rasa bertuhan. Mengenal erti syukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt. Belajar erti empati, berkongsi dan memberi.

Cikgu Asmadi Abdul Samad

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts