BANGI, 12 Jamadilawal – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa pengiktirafan “Muslim Choice” yang diperkenalkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Muslim Friendly Watch (MFW), bukan merupakan perakuan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama negara ini.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” atau seumpamanya boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
“JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 dan memaklumkan bahawa pengiktirafan ‘Muslim Choice’ boleh mengelirukan pengguna serta memohon supaya aktiviti tersebut dihentikan.
“Namun, berdasarkan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa agama negeri, MFW didapati masih meneruskan aktiviti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM serta Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) yang mempunyai kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan memberikan kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.
Sehubungan itu, JAKIM menegaskan bahawa penggunaan sebarang logo, simbol, istilah, atau kenyataan yang membawa maksud halal dan dikeluarkan oleh pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN adalah tidak sah serta melanggar peraturan.
“Tindakan seperti itu bukan sahaja boleh mengelirukan pengguna Muslim, malah turut menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara,” tegas kenyataan tersebut.
JAKIM turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang memberi tanggapan halal tanpa pengesahan rasmi daripada JAKIM atau MAIN/JAIN.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam
			







