Tular Isu RM500 untuk Solat Jenazah, Mufti Tegaskan Solat Jenazah Tidak Perlu Bayaran

KUALA LUMPUR — Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, menegaskan bahawa solat jenazah tidak memerlukan sebarang bayaran, sebaliknya ia adalah tanggungjawab fardu kifayah yang mesti dilaksanakan masyarakat dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan mendoakan si mati.

Menurut beliau, ibadah solat jenazah bukanlah satu perkhidmatan yang wajar dikenakan caj, apatah lagi sehingga membebankan waris yang sedang berduka.

“Solat jenazah tidak memerlukan bayaran. Ia memerlukan kesungguhan kita untuk mendoakan si mayat, jadi tidak perlu kepada pembayaran dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Penjelasan ini susulan isu tular melibatkan sebuah masjid di Kedah yang didakwa mengenakan bayaran RM500 untuk menguruskan solat jenazah, sehingga memaksa keluarga si mati meminjam wang demi menunaikan fardu kifayah. Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai etika pengurusan masjid.

Bagaimanapun, Ahmad Fauwaz menggalakkan masjid menyediakan tabung derma am atau khairat khas yang boleh digunakan untuk membantu golongan miskin, termasuk keluarga yang terbeban dengan kos pengurusan jenazah.

“Khairat boleh diperluaskan untuk membantu golongan miskin sebegini. Jadi, kita boleh maklumkan kepada orang ramai atau buat kutipan derma. Tidak perlu meminjam wang masjid,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa bukan tujuan pihak berkuasa agama untuk mengharamkan pemberian upah, tetapi secara etika ia tidak sesuai kerana seolah-olah menjadikan doa dan ibadah sebagai sesuatu yang berbayar.

“Sebaliknya, kitalah yang sepatutnya membantu keluarga si mati,” katanya.

Ahmad Fauwaz turut mencadangkan kerajaan menggalakkan masjid membangunkan dana khairat secara lebih sistematik agar bantuan dapat disalurkan kepada lebih ramai penerima, khususnya keluarga miskin yang mungkin terbeban ketika menguruskan jenazah.

“Isu seperti ini juga menunjukkan perlunya menjaga golongan miskin agar mereka dapat menunaikan tanggungjawab fardu kifayah,” jelasnya.

Sumber: The Merdeka Times

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts